LAHAD DATU: Pasukan penguat kuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) melakukan pemeriksaan terhadap premis perniagaan dan 342 individu dalam satu operasi di bandar ini pada Khamis.
Komander Esscom, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, operasi Omni Presence itu merupakan antara usaha berterusan Esscom bagi membanteras kehadiran pendatang tanpa izin, membendung aktiviti ekonomi tidak sah serta memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam.
“Ia juga sebagai ‘show of force’ bahawa Esscom tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu atau kumpulan yang cuba melanggar undang-undang sehingga mengancam keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan komuniti di dalam Esszone,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi itu pemeriksaan dokumen dilakukan ke atas premis perniagaan serta 342 individu.
Menurutnya, sebanyak 75 paket rokok seludup pelbagai jenama dan 19 kotak mancis Aladdin dianggarkan bernilai RM800 turut dirampas.
Operasi melibatkan 53 pegawai dan anggota itu, katanya, mencerminkan komitmen Esscom dalam memastikan kehadiran anggota keselamatan dirasai masyarakat melalui rondaan, pemantauan dan pemeriksaan berterusan.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan awam terhadap keselamatan, malah menjadi mesej kepada pihak yang berniat melakukan aktiviti tidak sah di dalam Esszone.
“Kehadiran berterusan pasukan keselamatan Esscom juga memberi jaminan kepada komuniti setempat, pelabur dan pengunjung bahawa keselamatan di seluruh Esszone sentiasa dipantau rapi dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Beliau berkata Esscom akan terus mempergiat operasi bersepadu bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah kekal terjamin.
Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan di Esszone kepada Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.