KOTA KINABALU: Zara Qairina Mahathir mengalami gangguan pengawalan emosi yang akut berkait rapat dengan kejadian pada malam berlakunya konfrontasi, Mahkamah Koroner diberitahu pada Jumaat.
Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo, memberi keterangan bahawa peristiwa pada 15 Julai 2025 mempunyai kepentingan klinikal daripada perspektif psikiatri.
Semasa membacakan pernyataan saksinya, deponen ke-75 itu berkata, keterangan saksi yang tersedia menggambarkan satu konfrontasi secara berkumpulan yang melibatkan tuduhan, pemeriksaan barangan peribadi, komen berbaur negatif, ejekan di hadapan orang ramai, tekanan emosi yang ketara, tangisan, penafian serta pengasingan selepas kejadian.
Dia berkata, Zara dilaporkan dituduh dan berdepan konfrontasi daripada beberapa pelajar serta pelajar senior, sebelum menafikan melakukan sebarang kesalahan dan menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi yang jelas.
Dr Wong turut memberi keterangan bahawa bahan yang diteliti menunjukkan Zara kelihatan dibebani emosi selepas konfrontasi itu sebelum mengasingkan diri, manakala ketiadaan sokongan atau usaha menenangkan mangsa oleh rakan sejurus selepas kejadian adalah relevan dari sudut klinikal.
Dia memberitahu Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa rakaman audio perbualan antara Zara dengan ibunya juga mempunyai kepentingan klinikal.
“Ia mencerminkan komunikasi yang kerap, keperluan mendapatkan kepastian, unsur jenaka, kasih sayang, penglibatan dalam urusan harian serta interaksi spontan dari segi emosi antara ibu dan anak.
“Zara kerap mendapatkan kepastian, bimbingan, nasihat praktikal dan sokongan emosi daripada ibunya berkaitan aktiviti harian, interaksi dengan rakan sebaya, kehidupan di sekolah, aspek keselamatan, keperluan persekolahan, kewangan serta isu hubungan interpersonal.
“Daripada perspektif psikiatri, ibu Zara dilihat berfungsi sebagai sumber utama yang memberikan kestabilan emosi, keyakinan, membantu memproses isu interpersonal serta mewujudkan rasa selamat dari sudut psikologi kepada Zara,” katanya.
Menjawab satu lagi soalan, Dr Wong berkata bahan seperti diari Zara dan helaian tulisan tangan yang ditemui menunjukkan corak peningkatan kepekaan dalam hubungan interpersonal, kebergantungan emosi kepada hubungan rapat dengan rakan serta kesukaran mengawal tekanan emosi apabila hubungan tersebut dirasakan tidak stabil.
“Daripada perspektif psikiatri, kandungan tulisan itu lebih konsisten dengan fungsi kelekatan yang dipacu emosi dan semakin tidak terkawal dalam kalangan remaja yang terdedah kepada kerentanan psikologi, berbanding bukti wujudnya niat jahat atau tingkah laku pemangsa.
“Walaupun terdapat beberapa catatan yang mengandungi luahan kemarahan atau kekecewaan terhadap ibunya, keseluruhan bahan yang direkodkan pada tempoh sama, termasuk rakaman audio, gambar serta keterangan sokongan, tidak menyokong kesimpulan bahawa wujud penolakan berterusan, pengasingan emosi atau keretakan hubungan antara ibu dan anak,” katanya.
Dr Wong dilantik oleh firma guaman yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, bagi membantu inkues itu dengan menyediakan laporan psikiatri retrospektif secara bebas mengenai Zara.
“Saya menyediakan laporan itu bersama Pakar Perunding Psikiatri, Dr Aili Hanim Hashim dan laporan tersebut bertajuk “Independent Retrospective Psychiatric Report”.
“Tujuan laporan itu adalah untuk memberikan pandangan psikiatri secara bebas mengenai keadaan mental Zara sebelum kematiannya serta mengenal pasti faktor psikiatri, psikologi dan psikososial yang secara munasabah berkaitan dengan keadaan yang mengelilingi kematiannya.
“Memandangkan tiada pemeriksaan psikiatri secara langsung dapat dijalankan terhadap si mati, pandangan yang diberikan adalah bersifat retrospektif dan berdasarkan rekod yang tersedia, maklumat sokongan, bahan tulisan, rakaman audio, temu bual serta bahan prosiding inkues,” katanya.
Dia berkata bahan yang diteliti merangkumi laporan bedah siasat dan perubatan, laporan pemeriksaan tempat kejadian, laporan analisis kimia dan pemeriksaan dokumen, nota prosiding inkues, catatan peribadi dan buku nota, rakaman audio, gambar, video, bahan berkaitan TikTok, komunikasi digital serta temu bual dengan ibu bapa Zara.
Dr Wong menambah, bahan yang tersedia tidak menyokong kesimpulan bahawa Zara mengalami gangguan psikotik kronik atau gangguan mood yang teruk dan berpanjangan sebelum kejadian berkaitan.
Prosiding inkues akan disambung semula pada Julai tahun ini.