Kota Kinabalu: Kira-kira 30 pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di sebuah pusat rawatan amal di Kepayan berdepan kesulitan, apabila bekalan elektrik terputus hampir empat jam selepas fius di premis itu dipercayai terbakar, pada Isnin.
Kejadian yang berlaku sebelum jam 11 pagi itu menyebabkan mesin hemodialisis tidak dapat beroperasi, sekali gus menjejaskan jadual rawatan pesakit syif kedua yang sepatutnya berlangsung dari jam 11 pagi hingga 3 petang.
Gangguan itu turut menjejaskan jadual rawatan syif ketiga yang dijadualkan bermula jam 3 petang apabila pesakit hanya dapat memulakan rawatan kira-kira jam 6 petang.
Seorang kakitangan pusat rawatan berkata, bekalan elektrik mula terputus sebelum jam 11 pagi ketika kebanyakan pesakit syif kedua sudah berada di pusat berkenaan.
“Kami menghubungi pusat aduan SESB sebanyak empat kali dan ada juga pesakit yang membuat susulan selepas lama menunggu, namun juruteknik hanya tiba kira-kira jam 2.30 petang.
“Bayangkan kesulitan yang dialami pesakit syif kedua yang ada antaranya tiba seawal jam 9 pagi. Mereka terpaksa menunggu berjam-jam dalam keadaan tidak selesa, terutama pesakit yang menggunakan kerusi roda dan tongkat.
“Ada pesakit datang dari Papar dan Kuala Penyu. Pesakit buah pinggang juga mempunyai pelbagai komplikasi kesihatan lain,” katanya.
Beliau berkata, rawatan bagi pesakit syif kedua hanya dapat dimulakan sekitar jam 3 petang hingga 5.30 petang dengan tempoh rawatan dipendekkan kepada kurang tiga jam berbanding kebiasaan empat jam.
Pesakit syif ketiga pula hanya memulakan rawatan pada jam 6 petang walaupun dijadualkan bermula pada jam 3 petang.
Menurutnya, kelewatan itu menyusahkan pesakit buah pinggang kronik yang bergantung sepenuhnya kepada mesin hemodialisis untuk membersihkan darah dengan menyingkirkan sisa toksin, lebihan garam dan cecair daripada badan.
Beliau berkata, Sabah Electricity sepatutnya memberi keutamaan terhadap aduan yang melibatkan kemudahan kesihatan kerana rawatan pesakit bergantung kepada bekalan elektrik.
Kakitangan itu berkata, juruteknik SESB yang tiba di lokasi selepas jam 2 petang memaklumkan mereka baru sahaja menerima aduan kerosakan itu.