Kota Kinabalu: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki membabitkan urusan kononnya penjualan sebuah bot parasailing sehingga menyebabkan kerugian RM165,000.
Jasmin Andy membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir @ Fisal atas pertuduhan memperdayakan Alijin Darman sehingga mempercayai bahawa dia bertindak sebagai orang tengah dalam urusan penjualan sebuah bot parasailing, mendorong pengadu menyerahkan wang sebanyak RM165,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Brulun Travel and Tours Sdn Bhd di Aeropod, di sini, kira-kira jam 8 malam 20 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah memohon satu tarikh pengurusan kes praperbicaraan dan membantah permohonan jaminan, dengan berhujah bahawa tertuduh bukan warganegara dan hanya memiliki dokumen IMM13, sekali gus berisiko melarikan diri.
Dia juga memaklumkan pengadu mengalami kerugian berjumlah RM165,000 dan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan sebelum ditangkap, selain tiada keadaan khas yang mewajarkan jaminan diberikan.
Peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili Jasmin memohon agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin.
Mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk pengurusan kes, menolak permohonan jaminan dan memerintahkan tertuduh terus direman.