PENAMPANG: Jangan tunggu lama, percepatkan kerja-kerja meronda dan perbaiki jalan-jalan kampung yang rosak dalam kawasan Kolopis, kata beberapa pemimpin kampung menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) serta syarikat konsesi bertanggungjawab menyelenggara infrastruktur utama.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Kolopis Januarius Majalap berkata penduduk sudah bosan dengan masalah jalan raya yang mereka hadapi setiap hari malahan dilihat boleh membawa kepada kemalangan.
“Masalah ini boleh diselesaikan jika pihak yang bertanggungjawab komited melaksanakan amanah yang diberi dan prihatin dengan kesengsaraan penduduk.
“Kami sudah bosan melalui jalan-jalan yang rosak, berlubang, tiada penyelenggaraan dan kehadiran banyak kenderaan berat melalui jalan kampung.
“Tindakan pantas syarikat konsesi JKR sangat kritikal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan infrastruktur setempat.
“Melalui pemantauan JKR daerah, syarikat kontraktor bertanggungjawab perlu digerakkan segera untuk menyelenggara jalan berlubang, membersihkan longkang tersumbat dan membaiki atau mencuci papan tanda yang kabur di Kampung Kolopis dan kampung sekitar Penampang,” katanya.
Menurut Januarius cadangan membina parit jalan baharu untuk menyalurkan air hujan terus ke sungai kampung adalah penyelesaian terbaik bagi mengelak masalah takungan air dan banjir kilat.
Beliau sudah membuat aduan rasmi secara bertulis dan telah disalurkan terus melalui saluran yang ditetapkan seperti merujuk masalah itu ke Pejabat Jurutera Daerah JKR Penampang untuk tindakan pantas syarikat konsesi yang dilantik.
Dalam perkembangan lain Januarius turut mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin dalam Wiriz Oriental Tenganan pada 11 Jun 2026 mengenai isu pelantikan rasmi PJKKK di daerah ini yang dikatakan sedang berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kami ambil maklum dengan prosedur yang ditetapkan kerajaan namun kelemahan pengeluaran watikah pelantikan itu memberi risiko besar. Tanpa surat rasmi pemimpin tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mewakili kerajaan, mengesahkan dokumen atau mengurus perundingan.
“Ini sekali gus mendedahkan mereka kepada liabiliti perundangan jika berlaku sebarang masalah atau salah laku,” katanya.
Bagaimanapun katanya perkara berkenaan perlu dipercepatkan sesuai dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya sebagai pemacu utama pembangunan negeri yang lebih bersistem dan strategik untuk tempoh 2026–2030.