SANDAKAN: Seramai 347 penduduk Kampung Sungai Batang, Batu 10, menerima Permit Lot Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Mahkamah Anak Negeri Sandakan, Rabu lepas.
Permit berkenaan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa, kepada penerima layak sebagai usaha memperkukuhkan hak pemilikan dan penempatan masyarakat Anak Negeri di kawasan berkenaan.
Dalam ucapannya, Hazem berkata Kerajaan Negeri komited memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian melalui pengurusan tanah yang lebih teratur, sistematik dan berkesan, khususnya melibatkan komuniti tempatan.
Menurut beliau, penyerahan permit tersebut merupakan satu langkah penting dalam memberikan jaminan kepada penduduk yang layak untuk memiliki tapak kediaman secara sah, sekali gus membolehkan mereka menikmati manfaat pembangunan yang dirancang kerajaan.
“Penyerahan permit lot tanah rizab ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya masyarakat Anak Negeri, selain memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara mampan dan terancang,” katanya.
Beliau turut berharap pemberian permit itu dapat memberi ketenangan kepada para penerima, di samping membuka lebih banyak peluang pembangunan sosioekonomi serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk setempat.
Majlis berkenaan turut dihadiri pemimpin masyarakat Mahkamah Anak Negeri Sandakan, wakil pelbagai agensi kerajaan serta para penerima permit yang hadir bagi menerima dokumen masing-masing.
Penyerahan permit itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan hak pemilikan tanah masyarakat Anak Negeri, selain memastikan pembangunan kawasan penempatan dilaksanakan secara lebih tersusun demi manfaat generasi akan datang.