PAPAR: Hospital Papar dipilih sebagai hospital perintis bagi pelaksanaan projek penuaian air bawah tanah sebagai langkah strategik untuk memperkukuh daya tahan bekalan air di fasiliti kesihatan di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd Datuk Ag Buhtamam Ag Mahmun berkata projek itu berfungsi sebagai sumber bekalan alternatif kepada bekalan Jabatan Air Negeri Sabah dan dijangka memenuhi antara 15 hingga 20 peratus keperluan penggunaan air harian hospital dengan kapasiti menghasilkan antara 20 hingga 27 meter padu air sehari.
Advertisement

Beliau berkata projek berkenaan bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber bekalan air malah memastikan kelangsungan operasi hospital, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan serta menyediakan bekalan air sokongan yang mampan.
“Air bawah tanah dikenal pasti sebagai sumber baharu yang mampu menyokong keperluan bekalan air secara mampan selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memperkukuh daya tahan hospital.
“Ujian makmal terhadap kualiti air akan dijalankan bagi menentukan sama ada sumber alternatif ini sesuai digunakan sebagai air kegunaan harian atau air minuman,” katanya.
Menurut Ag Buhtamam, Hospital Papar dipilih berdasarkan potensi hidrogeologi dan kesesuaian tapaknya.
“Kajian awal menunjukkan parameter air seperti nilai pH dan kekonduksian elektrik berada pada tahap yang baik sekali gus menunjukkan potensi positif sumber air bawah tanah.
“Sampel kini sedang menjalani ujian makmal terperinci bagi memastikan kualitinya memenuhi piawaian penggunaan hospital,” katanya.
Katanya menerusi projek berkenaan Sedafiat bukan sahaja berperanan sebagai penyedia perkhidmatan sokongan hospital malah menjadi pemacu inovasi dalam usaha membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan dan lestari.
Beliau berkata inisiatif itu juga selaras dengan komitmen Sedafiat terhadap prinsip ESG serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam aspek kesihatan, air bersih, inovasi, komuniti mampan dan tindakan terhadap perubahan iklim.
Sementara itu Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Ridwan Hashim berkata projek berkenaan merupakan langkah positif ke arah memperkukuh amalan kelestarian menerusi pengurusan sumber air yang lebih cekap.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan menetapkan sasaran strategik untuk memperluaskan sistem penuaian air bawah tanah ke hospital kerajaan lain di seluruh negeri sekiranya projek perintis itu berjaya dilaksanakan sepenuhnya.
Turut hadir Pengarah Hospital Papar yang diwakili Dr Mohd Ikhwan Chaco, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sabah Dr Frederick Francis Tating, Pengarah Urusan Pembinaan Kiyawayan Sdn Bhd Ir Joe Primus Kayau serta barisan pengurusan kanan Sedafiat.