KUNAK: Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak menahan 20 individu dalam 16 serbuan yang dijalankan sepanjang Jun lepas, dengan nilai keseluruhan rampasan pelbagai barangan berjumlah RM2,962,048.
Daripada jumlah tangkapan itu membabitkan 19 orang lelaki dan satu perempuan, merangkumi 12 individu warganegara dan lapan warga asing.
PGA Kunak dalam kenyataan berkata, kejayaan dan rampasan itu dijalankan hasil penugasan Cawangan Risik yang merangkumi operasi OP Tiris 4.0 dan OP Taring Esszone oleh Kompeni C pasukan Batalion 22.
“Keseluruhan rampasan melibatkan pelbagai jenis barangan seperti dadah, ayam sabung, rokok tanpa cukai, hasil-hasil hutan yang dicuri dan tanpa permit, hidupan liar (tenggiling), barangan kawalan termasuk tong gas silinder dan minyak petrol/ diesel serta kenderaan-kenderaan terlibat”, kata kenyataan itu.
Dalam penugasan Op Tiris 4.0, sejumlah enam kes melibatkan kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Kesalahan lain termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan Sabah 2015, Akta Kastam 1967, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Enakmen Hutan Sabah 1968.
Pasukan itu juga menghargai kerjasama pelbagai agensi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, KPDN Semporna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Semporna dan Kunak, Kastam DiRaja Malaysia (Semporna), Jabatan Perhutanan Sabah, dan Jabatan Hidupan Liar Sabah yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan.
“Batalion 22 PGA Kunak akan terus komited menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dan merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat yang bersedia membantu dalam menyalurkan maklumat,” katanya.