RANAU: Pelajar disaran memilih bidang pengajian mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program berasaskan kemahiran berbanding kursus yang menawarkan peluang pekerjaan terhad.
Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata pelajar perlu membuat keputusan bijak ketika memilih bidang pengajian dengan mengambil kira keperluan industri serta potensi pendapatan masa depan.
“Institusi seperti politeknik dan kolej kemahiran kini menawarkan laluan kerjaya yang sangat baik malah graduan teknikal dan vokasional semakin menjadi pilihan industri.
“Ilmu teknikal dan kemahiran praktikal yang ditawarkan oleh politeknik serta institusi latihan kemahiran kini mendapat permintaan tinggi dan menjanjikan prospek kerjaya yang cerah.
“Kemahiran diperoleh bukan sahaja membuka peluang pekerjaan malah menjadi asas kukuh kepada keusahawanan serta penubuhan perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan lumayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ke-20 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau. Masidi turut mengingatkan golongan belia supaya tidak terlalu memilih pekerjaan sebaliknya bersedia memulakan kerjaya baharu dan merebut setiap peluang yang ada.
“Tiada pekerjaan yang memalukan kerana setiap kejayaan bermula dengan keazaman, disiplin dan kerja keras.
“Dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif, sikap rajin, kesediaan untuk belajar dan memikul tanggungjawab adalah lebih penting daripada terlalu memilih jenis pekerjaan.
“Pengalaman yang diperoleh akan menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar pada masa depan,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan lepasan sekolah dan graduan supaya berani keluar dari kampung halaman bagi menimba ilmu, pengalaman serta pendedahan yang lebih luas dalam dunia pekerjaan.
Katanya pengalaman bekerja di luar daerah, negeri atau negara mampu membentuk sahsiah, meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri selain membuka lebih banyak peluang untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu Masidi menggesa ibu bapa supaya memainkan peranan lebih aktif dalam pendidikan anak-anak dengan menghadiri program sekolah serta Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurut beliau penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah bukan sahaja memberi sokongan moral kepada anak-anak malah membolehkan mereka memantau perkembangan akademik serta mengenal pasti sebarang masalah lebih awal.
“Jika terdapat masalah kewangan atau isu lain yang menjejaskan pendidikan anak, ibu bapa perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah supaya penyelesaian dapat dicari bersama.
“Kerjasama erat antara ibu bapa dan sekolah amat penting bagi memastikan kebajikan, perkembangan dan kecemerlangan akademik anak-anak terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu dalam majlis berkenaan seramai 315 pelajar dan guru menerima pelbagai anugerah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 serta STPM Semester Satu.
Daripada jumlah itu 15 pelajar SPM dan empat pelajar STPM yang menerima keputusan rasmi peperiksaan masing-masing dianugerahkan Anugerah Pelajar Cemerlang atas kecemerlangan akademik mereka.