Kota Kinabalu: Penjimatan sekitar RM40 hingga RM50 seminggu mungkin kecil bagi sesetengah pihak tetapi bagi pengguna diesel di Sabah, jumlah itu memberi ruang untuk mengurus kos sara hidup keluarga dengan lebih baik.
Bagi pengguna yang bergantung kepada kenderaan diesel sebagai pengangkutan harian, lebihan wang hasil penjimatan bahan api itu kini boleh dimanfaatkan untuk keperluan lain, termasuk pendidikan anak-anak dan perbelanjaan rumah.
Pengurus IT Gloria Chew, 49, dari Kota Kinabalu berkata manfaat Budi Madani Diesel (Budi Diesel) sudah mula dirasai selepas seminggu menggunakan inisiatif itu apabila sebahagian kos perbelanjaan untuk bahan api dapat dijimatkan.
“Saya tidak menyangka kerajaan akan memperluas inisiatif seperti Budi Madani Ron95 (Budi95) kepada pengguna diesel. Saya sangat gembira apabila inisiatif ini diperkenalkan kerana saya adalah pengguna diesel. Sekarang, saya dapat menikmati harga bahan api lebih rendah dan menjimatkan kos,” katanya ketika ditemui Bernama.
Budi Diesel pada harga RM2.10 seliter menerusi mekanisme MyKad dilaksanakan pada 27 Jun bagi Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pada 1 Julai, dengan lebih 238,000 pengguna telah menikmati manfaat inisiatif berkenaan.
Gloria berkata beliau mengisi kira-kira 50 liter diesel untuk kegunaan seminggu dengan kos sebelum ini lebih RM100, namun mampu menjimatkan sekitar RM40 hingga RM50 bagi tempoh sama menerusi inisiatif itu.
“Penjimatan ini banyak boleh digunakan, terutama untuk keperluan anak-anak termasuk perbelanjaan persekolahan, aktiviti mereka, pendidikan dan makanan,” katanya.
Selain mahu Budi Diesel diteruskan, Gloria turut berharap maklumat mengenai inisiatif itu diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman supaya lebih ramai masyarakat mengetahui serta memahami manfaat pelaksanaannya, termasuk menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Beliau berkata hebahan lebih meluas amat penting kerana kebanyakan masyarakat luar bandar dan pedalaman di Sabah banyak bergantung kepada kenderaan diesel sebagai pengangkutan, termasuk untuk mengangkat barang.
Bagi peniaga Satar Bahari, 49, dari Sepanggar, beliau bersyukur dengan pelaksanaan Budi Diesel kerana sekurang-kurangnya penjimatan boleh dibuat, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian.
Sementara itu, pekerja kilang Johnson Jonis yang berulang-alik dari Tamparuli ke tempat kerja di Taman Perindustrian Kota Kinabalu berkata beliau turut merasai manfaat Budi Diesel selepas seminggu pelaksanaannya apabila perbelanjaan bahan api berkurangan.
Beliau berkata sebelum ini penggunaan diesel bagi tempoh seminggu memerlukan kos lebih RM100, namun sekarang dapat dikurangkan kepada sekitar RM60, sekali gus menyifatkan Budi Diesel sebagai inisiatif sangat baik kepada pengguna kenderaan diesel.
Johnson bagaimanapun berharap keperluan masyarakat luar bandar dan pedalaman Sabah yang masih bergantung kepada diesel untuk kegunaan harian perlu diberi perhatian.
Beliau berkata kuota 200 liter sebulan menerusi Budi Diesel dilihat masih belum mencukupi bagi sesetengah pengguna di Sabah, terutama mereka yang menggunakan kenderaan diesel untuk perjalanan jauh.
Beliau turut mencadangkan supaya satu kajian menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti keperluan sebenar pengguna diesel di Sabah, termasuk melibatkan komuniti luar bandar dan pedalaman bagi memastikan penambahbaikan dapat dibuat mengikut keadaan setempat.
“Harapan saya kerajaan dapat menyediakan satu inisiatif lebih menyeluruh pada masa akan datang kerana diesel bukan untuk kereta sahaja. Generator pun menggunakan diesel terutama di pedalaman yang masih tidak ada bekalan elektrik,” katanya.