Kota Kinabalu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah membuka kaunter perkhidmatan pada setiap Sabtu dan Ahad selama empat minggu berturut-turut bagi membantu pemilik kenderaan mengemas kini rekod pemilikan untuk melayakkan mereka menerima manfaat di bawah Program Budi Diesel.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan urusan berkaitan program subsidi diesel bersasar berkenaan dapat diproses dengan lancar, di samping memudahkan orang ramai menyelesaikan proses pertukaran hak milik kenderaan.
Advertisement

Beliau berkata, JPJ membantu penama dan pemilik kenderaan yang perlu mengemas kini maklumat pemilikan supaya mereka dapat menikmati manfaat yang disediakan kerajaan menerusi Program Budi Diesel.
“JPJ membuka kaunter perkhidmatan pada setiap Sabtu dan Ahad selama empat minggu berturut-turut bagi membantu urusan pertukaran hak milik kenderaan serta proses berkaitan supaya individu yang layak dapat menerima manfaat Program Budi Diesel. Langkah ini bagi memastikan proses berkenaan serta pelaksanaan inisiatif kerajaan dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Menurutnya, kemudahan itu disediakan di semua pejabat JPJ di seluruh Sabah, termasuk ibu pejabat negeri, pejabat-pejabat cawangan serta tiga pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Program Budi Diesel merupakan inisiatif kerajaan bagi menyalurkan subsidi diesel bersasar kepada penerima yang layak, termasuk pemilik kenderaan diesel persendirian yang memenuhi syarat ditetapkan.