PENAMPANG: Jabatan Imigresen Sabah perlu memberikan justifikasi terhadap keputusannya menyekat kemasukan Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) serta aktivis Asraf Sharafi Mohammad Azhar, selain meletakkannya di bawah Notis Amaran Sabah (NAS), kata Timbalan Pengerusi DAP Sabah Jannie Lasimbang.
Jannie berkata Asraf sebagai seorang aktivis masyarakat sivil tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman keselamatan melainkan pihak berkuasa dapat membuktikan bahawa beliau menimbulkan risiko serta-merta terhadap keselamatan negeri.
Tambahnya, sekiranya tiada justifikasi sedemikian, Asraf seharusnya dibenarkan memasuki Sabah dan bertemu semula dengan isteri serta anak-anaknya.
Dilaporkan, Asraf dinafikan kemasukan ke Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira jam 7 malam pada Selasa sebelum dihantar pulang ke Kuala Lumpur pada malam sama.
Sekatan itu dilaporkan dikenakan hanya beberapa hari sebelum satu perhimpunan antirasuah dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
Jannie berkata walaupun Sabah mempunyai autonomi berperlembagaan dalam hal ehwal imigresen, kuasa terbabit mesti dilaksanakan secara berhemah dan selaras dengan prinsip demokrasi.
Menurutnya, tindakan menyekat pergerakan seorang aktivis masyarakat sivil menimbulkan kebimbangan yang wajar berhubung kebebasan berhimpun secara aman, yang hanya boleh dihadkan jika terdapat alasan keselamatan yang kukuh.
Sehubungan itu, Jannie menggesa Kerajaan Sabah membatalkan larangan terbabit melainkan terdapat alasan keselamatan yang benar-benar kukuh dan munasabah serta memberi jaminan bahawa aktivis dan anggota masyarakat sivil tidak akan dihalang daripada memasuki Sabah hanya kerana melaksanakan hak demokratik mereka.