KENINGAU: Seramai 19 individu ditahan semasa satu operasi ke atas pertubuhan haram baru-baru ini telah dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Imigresen 1959/63.
Kes berkenaan dibicarakan pada 2 Julai 2026.
Advertisement

Daripada 19 individu itu, empat memiliki dokumen pengenalan yang sah manakala 15 lagi tidak mempunyai dokumen.
Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, seramai 11 individu didakwa manakala lapan lagi tidak dituduh di bawah seksyen tersebut.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh tangkapan atau denda RM4,500 terhadap empat individu yang mempunyai dokumen. Kesemua membayar denda itu.
Enam individu yang tidak mempunyai dokumen dikenakan hukuman penjara sembilan bulan bermula dari tarikh tangkapan dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Seorang kanak-kanak pula dikenakan Waran Komitmen di bawah Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah untuk ditempatkan di Penjara Kepayan. Mahkamah turut mengarahkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta laporan pakar pergigian bagi tujuan pengesahan umur.
Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, seramai 15 individu terdiri daripada 10 dewasa dan lima kanak-kanak tampil di hadapan Majistret Flavian Edward Henry.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabah Esther Cynthia Jebon. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dari tarikh tangkapan terhadap dua individu sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas tamat menjalani hukuman.
Lapan lagi dikenakan hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkapan, satu sebatan serta diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Lima kanak-kanak yang terlibat juga dikeluarkan Waran Komitmen di bawah Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah untuk ditempatkan di Penjara Kepayan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan laporan pakar pergigian bagi mengesahkan umur mereka.