Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedang meneliti cadangan memperkenalkan sistem tenaga hibrid solar dan hidroelektrik di kampung-kampung pedalaman di seluruh negeri dengan menjadikan projek komuniti di Kampung Pokolon Paus, Ranau sebagai model rujukan.
Setiausaha Tetap kementerian itu Datuk Myrna Jimenez berkata konsep hibrid berkenaan merupakan pendekatan baharu yang sedang diterokai walaupun keberkesanannya telah dibuktikan menerusi pelaksanaan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada Forum SANKALPA Sabah 2030 mengenai pelaksanaan strategi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
“Ini merupakan dimensi baharu bagi kami,” katanya sambil merujuk kepada potensi memperluaskan penggunaan sistem hibrid ke lebih banyak kawasan luar bandar.
Menurutnya Kampung Pokolon Paus di Ranau berpotensi menjadi penanda aras Sabah dalam usaha membawa bekalan elektrik ke kawasan pedalaman.
“Saya percaya Kampung Pokolon Paus di Ranau boleh menjadi penanda aras Sabah jika kita mahu membawa cahaya ke kampung-kampung terpencil,” katanya.
Beliau berkata projek itu bermula dengan sistem hidro mini (Pico Hydro) yang hanya membekalkan elektrik kepada beberapa buah rumah sebelum berkembang menjadi sistem hibrid yang kini memberi manfaat kepada puluhan kediaman.
Myrna turut mengiktiraf peranan NGO yang menjadi perintis dalam usaha menyediakan bekalan elektrik luar bandar di Sabah.
“Kadang-kadang saya berasa sedikit malu sebagai penasihat dasar kerana NGO sering menjadi pelopor usaha seperti ini sebelum kerajaan mengikutinya,” katanya.
Sistem tenaga hibrid di Kampung Pokolon Paus dibangunkan menerusi kerjasama Tonibung, Pacos Trust dan Green Empowerment di bawah konsortium Sabah Renewable Energy Rural Electrification (Sabah RE2), dengan pembiayaan daripada Seacology, CMAD dan EKOenergy Eco Label.
Sistem itu menggabungkan pemasangan panel solar fotovoltaik berkapasiti 50 kilowatt puncak (kWp), unit hidro mini berkapasiti 3.5 kilowatt (kW) serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 122 kilowatt-jam (kWh).
Kemudahan itu membekalkan elektrik kepada 42 buah rumah serta beberapa kemudahan komuniti.
Sistem berkenaan menggunakan tenaga solar ketika musim kering dan beralih kepada hidro mini semasa musim hujan manakala BESS memastikan bekalan elektrik kekal stabil sepanjang masa.
Menurut Myrna projek itu akan menjadi rujukan penting dalam merangka dasar bekalan elektrik luar bandar pada masa hadapan.
Mengenai bekalan air, beliau berkata sistem graviti dan penyediaan tangki simpanan tambahan masih menjadi alternatif utama bagi kampung yang tidak dapat disambungkan kepada sistem Jabatan Air.
Katanya kos penyelenggaraan sistem komuniti itu dikongsi oleh penduduk melalui caj penggunaan yang minimum.
“Bateri bukan murah dan perlu diganti setiap 10 hingga 15 tahun, tetapi pendekatan ini dapat mengurangkan beban kerajaan di samping memperkasakan komuniti mengurus sumber mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata masyarakat luar bandar memerlukan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, capaian internet dan pendidikan berkualiti.
“Walaupun mereka tidak menjadi kaya, sekurang-kurangnya biarlah mereka dapat keluar daripada kitaran kemiskinan,” ujarnya.
Mengenai pembangunan infrastruktur, Myrna berkata kementerian turut meneliti cadangan memperkenalkan program jambatan luar bandar baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya program itu melibatkan pembinaan tiga jenis jambatan iaitu jambatan gantung, jambatan kenderaan dan lintasan aras rendah bagi menghubungkan kampung yang sekian lama terpisah akibat halangan sungai.
Beliau berkata daerah yang mempunyai sungai boleh memanfaatkan tenaga hidro, manakala kawasan yang tidak mempunyai sumber itu boleh menggunakan tenaga solar, dengan sesetengah kawasan berpotensi menggabungkan kedua-duanya melalui sistem tenaga hibrid.