Kota Kinabalu: Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan mencederakan anak perempuannya berusia 17 tahun.
Mohd Yuslin Mohd Yassin, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anaknya pada jam 1.30 petang, 8 Jun lalu di sebuah rumah di Kampung Ketiau, Putatan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum bagi kesalahan yang dilakukan terhadap pasangan, bekas pasangan, anak, orang dewasa yang tidak berkeupayaan atau ahli keluarga lain yang dilindungi.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan untuk pengurusan kes praperbicaraan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin serta diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Dalam prosiding berasingan seorang buruh berusia 33 tahun didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk membunuh isterinya.
Azizi Ammang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah.
Azizi didakwa mengugut untuk menyebabkan kematian isterinya yang berusia 35 tahun di kawasan parkir tepi jalan berhampiran Pasar Malam Inanam Laut pada jam 5.10 petang, 29 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jika ugutan melibatkan ancaman bunuh atau menyebabkan kecederaan parah, hukuman penjara boleh mencecah tujuh tahun.
Mahkamah turut menetapkan 19 Ogos depan untuk pengurusan kes praperbicaraan.
Azizi diperintahkan ditahan lanjut selepas pihak pendakwaan membantah permohonan jaminan atas alasan tertuduh dan pengadu masih tinggal serumah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh.