MENTERI Kewangan II Amir Hamzah berkata pelancong tidak akan dimasukkan di bawah skim subsidi diesel kerajaan kerana subsidi itu diperuntukkan kepada rakyat Malaysia bukannya pelawat asing.
“Manfaat daripada sektor pelancongan dinikmati oleh pelancong itu sendiri. Jadi, kami berpendapat mereka bukan golongan yang layak menerima subsidi daripada hasil yang dikutip melalui pendapatan domestik,” katanya.
“Apabila kami memperkenalkan Budi95 dan Budi Diesel, matlamatnya adalah untuk memberi subsidi kepada rakyat kita sendiri bukan warga asing. Oleh itu, pelancong perlu membayar harga yang telah ditetapkan untuk mereka. Itulah yang kami beri tumpuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai dakwaan khususnya oleh koperasi di Sabah yang mendakwa mereka tercicir daripada skim berkenaan walaupun pelancongan merupakan antara penyumbang utama hasil negeri. Amir Hamzah berkata keutamaan kerajaan terhadap sektor pelancongan adalah memperkukuhkan infrastruktur bagi menarik lebih ramai pelawat.
“Apa yang lebih penting bagi kami dalam sektor pelancongan ialah melihat bagaimana untuk menggalakkan pertumbuhan sektor ini serta menyediakan infrastruktur yang baik supaya lebih mudah untuk pelancong datang ke Malaysia khususnya ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata usaha itu termasuk memperluaskan kapasiti dan meningkatkan kecekapan lapangan terbang, selain menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk beroperasi ke negeri ini.
“Apabila terdapat lebih banyak hubungan penerbangan, lebih ramai pelancong berpeluang datang. Bagaimana kita mempertingkatkan pembangunan produk dan tarikan pelancongan di sini supaya apabila pelancong tiba, mereka mempunyai lebih banyak pilihan.
“Jika pilihan lebih banyak, mereka mungkin akan melanjutkan tempoh penginapan mereka di negara ini,” katanya sambil menambah, keadaan itu akan memberi manfaat kepada negara serta menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelawat.
Beliau berkata itulah yang kekal menjadi keutamaan kerajaan dalam membangunkan sektor pelancongan, manakala pemberian subsidi secara langsung kepada pelancong bukanlah hasrat kerajaan.
“Jika anda mahu saya memberi subsidi kepada pelancong, itu sukar kerana matlamat kami memberi subsidi adalah untuk rakyat kita sendiri bukan warga asing,” katanya.