TAWAU: Polis menahan 10 remaja lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes kerana didakwa menyerang empat rakan satu sekolah di Merotai Besar di sini pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Wilynton Enchana Watt berkata semua suspek yang berumur 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang Sabtu susulan hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan.
Katanya operasi dijalankan bersama oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Balai Polis Bombalai.
Siasatan awal menunjukkan sekumpulan pelajar mendatangi empat remaja lelaki lain yang berjalan kaki di laluan jalan pintas menuju Masjid Hidayatul Iman Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat.
Wilyntom berkata kumpulan pelajar lelaki terlibat kemudian bertanyakan keberadaan dua individu lain namun mangsa diserang dan dibelasah beramai-ramai selepas mengaku tidak mengetahui lokasi orang yang dicari.
“Akibat kejadian itu, mangsa menanggung kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada serta rusuk dan membuat laporan polis sebelum menerima menerima rawatan susulan di Hospital Tawau,” katanya.
Tambahnya, tiga lagi rakan mangsa yang turut mengalami kecederaan juga sudah membuat laporan polis.
Kes itu diklasifikasikan sebagai perbuatan merusuh dan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Wilynton berkata polis memandang serius terhadap sebarang bentuk keganasan atau salah laku membabitkan pelajar dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang individu sekiranya didapati melanggar undang-undang negara.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergaulan dan tingkah laku anak-anak.
Wilynton menyeru pihak sekolah dan masyarakat terus menjalin kerjasama dengan polis dalam membendung gejala keganasan dalam kalangan pelajar.
Kes ini turut mendapat perhatian ramai selepas seorang netizen dipercayai abang kepada salah seorang mangsa pertama memuat naik rakaman video serangan ke Facebook dipercayai dirakam oleh salah seorang pelaku terlibat.