LAHAD DATU: Polis menahan enam lelaki tempatan dan merampas 6.68 gram syabu dalam beberapa operasi berasingan di Kampung Sabah Baru, Kampung Puyut, Kampung Panji, Kampung Sungai Bikis dan Felda Sahabat 39, di sini.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata semua suspek berusia antara 30 hingga 62 tahun itu ditahan menerusi Op Tapis, Op RCJ dan Op Poket yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bersama Unit Narkotik Cenderawasih.
Advertisement

“Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
“Pasukan operasi turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah. Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM734.80,” katanya.
Dzulbaharin berkata semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Katanya, polis akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi membanteras kegiatan dadah di daerah ini.