BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, mencadangkan penubuhan sekolah khas Tingkatan Enam di Beaufort bagi menghimpunkan pelajar prauniversiti dari beberapa sekolah menengah di daerah itu dalam satu pusat pembelajaran.
Beliau berkata, ini diyakini dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran selain membolehkan guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada keperluan pelajar Tingkatan Enam.
Advertisement

Katanya, sebagai permulaan, kerajaan boleh menyewa sebuah bangunan yang bersesuaian sebelum membina kampus tetap pada masa depan.
“Sekolah ini bukan sahaja melibatkan pelajar dari kawasan DUN Lumadan seperti SMK Gadong dan SMK Weston, malah boleh menghimpunkan pelajar dari SM St John, SM St Paul, SMK Beaufort I, SMK Beaufort II serta SMK Kuala Penyu, sekali gus menjadi pusat Tingkatan Enam bagi daerah Beaufort,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan kepada Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat DUN Lumadan, di sini, Selasa.
Ruslan, yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, berkata cadangan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah membantu guru memberi fokus terhadap usaha meningkatkan pencapaian akademik dan pembangunan pelajar di peringkat prauniversiti.
“Pendekatan ini amat baik untuk pendidikan anak-anak kita kerana guru dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajar Tingkatan Enam berbanding keadaan sekarang,” katanya.
Mengulas usaha memperkasa pendidikan digital serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) di Lumadan, beliau berkata beberapa isu asas masih perlu diberi perhatian.
Katanya, kerajaan perlu mempercepat penyediaan kemudahan internet di sekolah yang masih berdepan masalah capaian selain menaik taraf kemudahan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Perubahan teknologi berlaku begitu pantas dan sekolah perlu dilengkapi kemudahan yang mencukupi bagi merealisasikan usaha memperkasakan STEM dalam kalangan pelajar.
“Pada masa sama, kita mahu melahirkan lebih ramai guru berkualiti kerana mereka merupakan antara penyumbang utama kepada kecemerlangan pelajar,” katanya.
Ruslan berkata beberapa sekolah di DUN Lumadan turut berdepan masalah banjir yang menjejaskan proses pembelajaran, termasuk pelaksanaan program Stem.
Antara sekolah yang dikenal pasti ialah SK Suasa, SK Bukau dan SK Lingkungan.
Menurutnya, Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort, Pejabat Daerah Beaufort dan Pusat Khidmat Adun Lumadan telah beberapa kali mengadakan mesyuarat tindakan bagi mencari penyelesaian, termasuk mengenal pasti tapak baharu yang lebih sesuai untuk pembinaan sekolah.
“PPD telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih tanah yang dicadangkan bagi pembinaan sekolah baharu.
“Selepas urusan tanah selesai, kita berharap kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan peruntukan melalui Kementerian Pendidikan bagi membina sekolah berkenaan di lokasi yang bebas daripada risiko banjir,” katanya.
Terdahulu, seramai 46 pelajar cemerlang menerima Insentif Pendidikan DUN Lumadan, terdiri daripada lima pelajar terbaik STPM dan 41 pelajar cemerlang SPM.
Mereka masing-masing menerima insentif antara RM500 hingga RM1,000 menerusi program tahunan yang diperkenalkan sejak 2022.