PUTATAN: Gerakan koperasi sekolah di Sabah merekodkan perolehan keseluruhan RM39.21 juta setakat 31 Disember 2025, menurut Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah Awang Ruslli Mohammad.
Sehingga tempoh itu, katanya, terdapat 232 koperasi sekolah di negeri ini membabitkan seramai 223,287 anggota.
Advertisement

Katanya, koperasi sekolah di Sabah turut merekodkan modal syer RM2.22 juta dengan aset keseluruhan berjumlah RM33.65 juta sekali gus mencerminkan potensi besar sektor berkenaan dalam memperkasa ekonomi komuniti serta pembangunan modal insan.
Menurutnya, kejayaan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau Berhad yang mencatat perolehan RM1,110,840.02 dengan keuntungan bersih RM97,426.69 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 menjadi bukti koperasi sekolah mampu berkembang sebagai organisasi perniagaan berjaya.
“Keberhasilan ini membuktikan koperasi sekolah bukan sekadar menjalankan aktiviti jual beli malah menjadi platform strategik dalam membentuk budaya keusahawanan, kepimpinan, integriti dan kemahiran pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar,” katanya ketika merasmikan Galeri Koperasi SMK Tansau Berhad di sini pada Jumaat.
Menurut Awang Ruslli, sehingga audit terakhir berakhir pada 31 Disember 2024, Koperasi SMK Tansau Berhad mempunyai 2,551 anggota dengan modal syer berjumlah RM53,232 serta aset bernilai RM479,972.24.
Katanya, kisah kejayaan koperasi berkenaan turut dipilih untuk dimuatkan dalam buku Rahsia Perolehan RM1 Juta Koperasi Sekolah terbitan Angkasa sebagai antara model kecemerlangan koperasi sekolah yang wajar dicontohi di seluruh negara.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Penampang, Rusmadi Ahmad, Pengetua SMK Tansau Dr Miller Yong, Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah Mohd Razalie Raffae dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Sabah, Dr Zhamriee Gulamrasul.