SANDAKAN: Seorang lelaki warga Indonesia tanpa dokumen didenda berjumlah RM635,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pembekalan, penyambungan dan penggunaan elektrik secara haram mengikut Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Asis Cengkeru, yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau pasport, mengaku bersalah di hadapan Hakim Roslinda Razali terhadap kesemua empat pertuduhan.
Advertisement

Mahkamah menjatuhkan denda RM300,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 8(1)(b), RM300,000 di bawah Seksyen 61(1), RM5,000 di bawah Seksyen 61(3)(a) dan RM30,000 di bawah Seksyen 61(8) Enakmen berkenaan.
Dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan supaya Asis diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke negara asal selepas membayar denda atau selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Dia gagal menjelaskan denda tersebut.
Mahkamah diberitahu bahawa kesalahan itu dikesan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang diketuai Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dengan bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Air Negeri Sabah di sebuah penempatan setinggan di Kampung Pengiran Galpam, Batu 7, Jalan Labuk, pada 22 April tahun ini.
Siasatan mendapati Asis mencuri bekalan elektrik dengan menyambungkan kabel secara terus ke talian elektrik bawah tanah milik SESB tanpa menggunakan meter elektrik yang sah.
Dia juga didapati menggali tanah dan merosakkan kabel bawah tanah voltan rendah milik SESB bagi membolehkan sambungan haram dilakukan menggunakan kaedah yang tidak selama, sekali gus mewujudkan risiko renjatan elektrik, kebakaran dan membahayakan orang awam.
Siasatan lanjut mendapati Asis turut membekalkan elektrik secara haram kepada kira-kira 52 rumah lain di penempatan setinggan itu dengan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM100 sebulan bagi setiap rumah untuk kepentingan peribadi.
Semasa operasi itu, Asis melarikan diri melalui laluan rahsia yang tersembunyi di bawah lantai rumahnya. Bagaimanapun, dia berjaya diberkas polis di Bandar Megah, Batu 7, pada 29 Jun lalu.
Antara barangan yang dirampas ialah dua gulung kabel sambungan haram masing-masing sepanjang 40 meter dan 168 meter, selain beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi melakukan penyambungan elektrik secara haram.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ECoS, Andryeno Thomas.