Kota Kinabalu: Sabah mengalihkan strategi pelancongannya kepada usaha menarik pelawat bernilai tinggi bagi meningkatkan sumbangan sektor itu kepada ekonomi negeri.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai berkata, sektor pelancongan kini menyumbang kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah dengan menjana hasil sebanyak RM13.7 bilion.
Advertisement

Beliau berkata, industri itu turut menyediakan hampir 400,000 peluang pekerjaan secara langsung, mewakili lebih 22 peratus daripada jumlah pekerjaan di Sabah.
Josie berkata, perbelanjaan pelancong turut memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor, termasuk perdagangan runcit, penginapan, makanan dan minuman, pertanian, pengangkutan serta perusahaan pelancongan berasaskan komuniti.
Katanya, kementerian menyasarkan peningkatan perbelanjaan dan tempoh penginapan pelancong berbanding hanya memberi tumpuan kepada pertambahan jumlah ketibaan.
“Kita menyasarkan peningkatan perbelanjaan pelancong dan bukan sekadar menambah bilangan ketibaan pelancong,” katanya ketika berucap pada satu forum, di sini, baru-baru ini.
Josie berkata, strategi pelancongan Sabah pada masa depan akan memberi penekanan kepada pengalaman asli berasaskan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta produk pelancongan berasaskan komuniti.
“Pelancongan luar bandar juga menawarkan potensi besar untuk mengagihkan manfaat ekonomi ke lebih banyak daerah, di samping mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata, pelaburan berterusan dalam infrastruktur seperti jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan, utiliti, rangkaian digital serta kemudahan pelawat amat penting bagi meningkatkan aksesibiliti dan menyokong pertumbuhan sektor pelancongan.
“Penyertaan sektor swasta akan terus digalakkan melalui pelaburan dalam hotel, resort, produk pelancongan, tarikan pelancong dan perniagaan berkaitan,” tambahnya.
Josie turut menegaskan bahawa usaha memelihara hutan, taman marin dan biodiversiti kekal menjadi keutamaan bagi memastikan Sabah terus mengekalkan kelebihan daya saing sebagai antara destinasi utama pelancongan berasaskan alam semula jadi di rantau ini.