TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan kegiatan disyaki menyimpan minyak sawit mentah (MSM) tanpa lesen selepas menyerbu sebuah premis di Kampung Nasib Kita, Balung, pada Jumaat.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas sebuah lori 38 tan yang membawa kira-kira 30,000 liter MSM.
Advertisement

Beliau berkata beberapa tong dram berisi minyak sawit mentah turut dirampas, menjadikan anggaran keseluruhan nilai rampasan melebihi RM400,000.
Menurutnya, dua individu turut ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyimpanan MSM tanpa lesen sah yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana menyimpan minyak sawit tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Ahmad Amri berkata PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang demi melindungi kepentingan industri sawit negara.