LABUAN: Sebanyak 28,127 syarikat melibatkan 68,669 kenderaan perdagangan berjaya didaftarkan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setakat 18 Julai ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurutnya, pertambahan pendaftaran itu mencerminkan penerimaan baik daripada pemain industri terhadap mekanisme baharu penyaluran subsidi diesel secara bersasar yang mula dilaksanakan di tiga wilayah berkenaan pada 1 Julai lalu.
Advertisement

Armizan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,116 syarikat membabitkan 3,433 kenderaan didaftarkan di bawah sektor Pengangkutan Darat (Awam), manakala 18,770 syarikat dengan 51,679 kenderaan melibatkan sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).
“Selain itu, sebanyak 7,241 syarikat yang memiliki 13,557 kenderaan turut didaftarkan di bawah sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap).
“Perkembangan ini menunjukkan pelaksanaan SKDS di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan terus mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan hasil kerjasama erat semua pihak termasuk pemain industri dan syarikat minyak,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Fleet Card SKDS, di sini pada Ahad.
Secara keseluruhan, Armizan berkata sebanyak 172,955 syarikat melibatkan 464,797 kenderaan perdagangan telah berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara setakat 18 Julai lalu.
Advertisement

Menurutnya, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia bermula pada 10 Jun 2024 sebelum diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 1 Julai lalu.
Katanya, KPDN bertanggungjawab mengawal selia penyaluran subsidi diesel bagi kenderaan perdagangan melalui pelaksanaan SKDS, manakala program subsidi lain seperti BUDI Diesel, BUDI Agri-Komoditi dan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan dilaksanakan oleh kementerian peneraju masing-masing.
Sehubungan itu katanya, syarikat yang telah diluluskan di bawah SKDS perlu memohon fleet card daripada syarikat minyak bagi membolehkan pembelian diesel bersubsidi direkodkan secara digital.
“Penggunaan fleet card membolehkan setiap transaksi pembelian diesel bersubsidi dipantau secara lebih sistematik, sekaligus memperkukuh kawalan, mengurangkan risiko ketirisan serta memastikan subsidi benar-benar dinikmati kumpulan sasar yang layak.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Petronas, Shell dan Petron atas kerjasama dalam memastikan proses pengeluaran fleet card berjalan lancar kepada syarikat yang layak,” katanya.
Pada masa sama, Armizan menggesa semua syarikat yang memenuhi syarat tetapi masih belum mendaftar supaya segera mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menikmati subsidi diesel bersasar.
Mengulas langkah seterusnya, beliau berkata KPDN kini mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti beberapa cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan SKDS berdasarkan pengalaman pelaksanaan, maklum balas pemain industri dan isu operasi yang dikenal pasti.
Katanya, kementerian juga akan meneruskan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri dan Sarawak bagi membincangkan isu-isu berbangkit supaya pelaksanaan dasar dapat mengambil kira keperluan operasi di lapangan tanpa menjejaskan objektif utama penyasaran subsidi dan usaha membendung ketirisan.
“KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan MOF, kerajaan negeri, syarikat minyak serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan SKDS terus diperkukuh dan memberi manfaat kepada sektor pengangkutan perdagangan di seluruh negara,” katanya.