Kota Kinabalu: Kerjasama yang lebih kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah amat penting bagi menyediakan infrastruktur yang berkualiti, berdaya tahan dan mampan, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Berucap pada majlis perasmian Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2026 pada Ahad, Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata kerjasama erat yang dibina atas dasar saling percaya, kepakaran yang saling melengkapi dan tanggungjawab bersama akan memperkukuh keupayaan negara untuk merancang, melaksanakan dan menyelenggara infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat.
Advertisement

Beliau berkata kehadiran Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta pemimpin kanan sektor kerja raya negara mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam memajukan agenda pembangunan negara.
“Sebagai Kerajaan Negeri, kami amat menghargai hubungan erat yang terus dipupuk bersama Kerajaan Persekutuan dan semua rakan strategik.
“Melalui kerjasama yang berasaskan kepercayaan bersama, saling melengkapi dan berkongsi kepakaran, kita akan memperkukuh keupayaan untuk merancang, melaksanakan dan menyelenggara infrastruktur berkualiti serta berdaya tahan yang memberikan manfaat berkekalan kepada rakyat,” katanya.
Joachim berkata program selama tiga hari itu membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, agensi teknikal, badan profesional dan pemain industri untuk terus memperkukuh sinergi dalam sektor kerja raya.
Advertisement

Beliau menegaskan pembangunan infrastruktur pada masa kini bukan sekadar melibatkan jalan raya, jambatan dan bangunan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan daya saing, kesejahteraan masyarakat serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap.
Katanya, setiap pelaburan infrastruktur mesti disokong oleh perancangan strategik, pelaksanaan berkualiti dan pengurusan aset yang cekap serta mampan, di samping memastikan ketelusan, penggunaan sumber secara berhemah dan penambahbaikan berterusan bagi memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
Menyentuh landskap pembangunan Sabah yang unik, Joachim berkata keluasan geografi negeri, bentuk muka bumi yang pelbagai, kawasan luar bandar yang luas serta penempatan yang berselerak memerlukan pendekatan perancangan infrastruktur yang lebih strategik, bersepadu dan responsif.
Beliau berkata kerjasama Persekutuan-Negeri yang lebih kukuh tidak seharusnya terhad kepada pelaksanaan projek semata-mata, tetapi perlu meliputi penyelarasan dasar, perkongsian ilmu, pembangunan modal insan, penerapan teknologi dan penambahbaikan tadbir urus bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
Joachim turut mengalu-alukan deklarasi yang dibuat semasa program tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama Persekutuan-Negeri menerusi sistem pengurusan aset jalan raya yang lebih moden, bersepadu dan mampan.
Beliau berharap inisiatif itu akan mencetuskan kerjasama yang lebih meluas dalam aspek pendigitalan, perkongsian data dan inovasi pengurusan aset awam bagi meningkatkan kecekapan, daya respons dan kualiti perkhidmatan yang disampaikan oleh sektor kerja raya.
Joachim menggesa peserta memastikan perbincangan dan idea yang dihasilkan sepanjang program diterjemahkan kepada penambahbaikan praktikal dan tidak sekadar menjadi wacana akademik.
“Nilai sebenar kolaborasi strategik bukan hanya terletak pada pertemuan untuk membincangkan isu, tetapi apabila kita pulang dengan komitmen untuk melaksanakan penambahbaikan yang benar-benar bermakna,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program itu dan berharap ia menjadi pemangkin kepada kerjasama Persekutuan-Negeri yang lebih erat dalam menyediakan infrastruktur berkualiti, selamat dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta kesinambungan pembangunan negara.