Kota Kinabalu: Polis Sabah menahan 13,298 individu atas pelbagai kesalahan serta merampas dadah bernilai RM263.82 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun
(gambar) berkata tangkapan itu dibuat menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di seluruh negeri.
Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut merampas kira-kira 3.7 tan dadah dan menahan lebih 30 individu yang dikaitkan dengan kes berkenaan.
“Situasi jenayah di negeri ini kekal terkawal susulan penahanan ramai individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini, Khamis.
Jauteh berkata polis turut menyerbu 13 pusat panggilan penipuan yang mula beroperasi di Sabah, sekali gus membawa kepada penahanan lebih 300 individu.
Beliau berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik turut merekodkan pencapaian memberangsangkan dalam menyelesaikan kes berkaitan trafik.
Advertisement

“Secara keseluruhannya, keadaan keselamatan di Sabah berada dalam keadaan terkawal. Tiada ancaman atau isu yang boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai,” katanya.
Menurutnya, pencapaian itu hasil komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan lain di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Jauteh berkata operasi bersepadu merobohkan penempatan setinggan haram serta membanteras sambungan bekalan air dan elektrik secara haram akan diteruskan.
Beliau berkata operasi yang bermula pada 15 Julai itu kini memberi tumpuan kepada penempatan setinggan dari kawasan Alamesra hingga Tamparuli sebelum diperluaskan secara berperingkat ke lokasi lain yang dikenal pasti.
Katanya, polis bekerjasama dengan Jabatan Air Negeri Sabah serta agensi berkaitan bagi memotong sambungan utiliti haram dan memantau sekiranya sambungan itu dibuat semula.
“Kami memotong sambungan hari ini dan memantaunya keesokan hari. Jika disambung semula, kami akan memotongnya sekali lagi,” katanya.
Beliau berkata setakat ini empat individu ditahan kerana disyaki mencuri bekalan air sebelum diserahkan kepada Jabatan Air Negeri Sabah untuk siasatan lanjut.
Jauteh berkata penduduk di penempatan yang terlibat terdiri daripada warga tempatan dan pemegang Pas IMM13.
Menurutnya, polis turut menyiasat sama ada terdapat individu yang memiliki beberapa rumah sewa di kawasan penempatan setinggan berkenaan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami membantu Kerajaan Sabah menangani isu kehilangan hasil bekalan air,” katanya.