Kota Kinabalu: Kadar pengangguran keseluruhan di Sabah menurun kepada 5.5 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 6.0 peratus pada suku keempat 2025, Dewan Undangan Negeri diberitahu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (gambar) berkata angka terbaharu itu turut mencerminkan pemulihan berterusan daripada kadar tertinggi pascapandemik sebanyak 8.2 peratus yang direkodkan pada 2020.
“Bagi Sabah, kadar pengangguran keseluruhan ialah 5.5 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 6.0 peratus pada suku keempat 2025 dan 7.6 peratus pada 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko-Tamparuli) yang meminta perincian mengenai kadar pengangguran belia di Sabah mengikut daerah serta program bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Nizam berkata Sabah terus mengguna pakai takrif belia kerajaan negeri, iaitu individu berumur antara 15 hingga 40 tahun, walaupun Kerajaan Persekutuan telah menyemak had umur belia kepada lingkungan 15 hingga 30 tahun.
Beliau berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak menerbitkan statistik rasmi pengangguran belia mengikut daerah atau kawasan pihak berkuasa tempatan, termasuk Kota Kinabalu.
Advertisement

Bagaimanapun, berdasarkan statistik DOSM Sabah bagi 2024, kadar pengangguran belia ialah 25.6 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 19 tahun, 36.9 peratus (20 hingga 24 tahun), 16.2 peratus (25 hingga 29 tahun), 8.7 peratus (30 hingga 34 tahun) dan 4.9 peratus (35 hingga 39 tahun).
Nizam berkata kerajaan negeri menerusi kementeriannya telah memperkenalkan pelbagai program bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk golongan belia.
Katanya, program itu merangkumi latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) berdasarkan keperluan industri berteknologi tinggi, latihan kemahiran berasaskan industri yang disertai penempatan pekerjaan dalam sektor bernilai tambah tinggi seperti minyak dan gas, teknologi maklumat serta perkhidmatan profesional.
Beliau berkata kementerian itu turut menganjurkan karnival kerjaya yang menghubungkan belia dengan majikan yang menawarkan pekerjaan bergaji lebih tinggi.
Menurutnya, sektor ekonomi kreatif termasuk kandungan digital juga menawarkan peluang menjana pendapatan yang besar kepada golongan muda.
Nizam berkata kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi latihan kemahiran dan sektor swasta terus diperkukuh bagi memperluas peluang latihan industri serta pembangunan kerjaya dalam sektor berpendapatan tinggi.