PERTUBUHAN Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (Kreatif Sabah) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik Datuk Kassim Razali berhubung penubuhan Hub Kreatif Sabah yang dibangkitkan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selasa.
Setiausaha Agung Kreatif Sabah Nazri Saidali
(gambar) berkata cadangan mewujudkan sebuah pusat atau hab yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi sektor seni dan industri kreatif bukanlah satu idea baharu.
“Malah, pelbagai mesyuarat, sesi libat urus dan perbincangan meja bulat telah diadakan sejak lebih sedekad lalu bagi membincangkan keperluan tersebut.
“Namun sehingga kini, cadangan berkenaan masih belum direalisasikan kerana belum disusuli dengan tindakan yang konkrit,” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Beliau berkata Kreatif Sabah optimis cadangan penubuhan Hab Kreatif Sabah kini mempunyai peluang yang lebih cerah untuk direalisasikan berikutan penubuhan portfolio Ekonomi Kreatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah oleh Kerajaan Negeri yang ditubuhkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, pada penghujung tahun lalu.
Langkah itu, menurutnya, dilihat sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan industri kreatif sebagai salah satu sektor strategik ekonomi negeri.
Advertisement

Nazri, yang juga Pengerusi Persatuan Komposer, Penulis Lirik dan Artis Nasyid Sabah (KOPAN), berkata Sabah tidak boleh terus ketinggalan dalam pembangunan industri kreatif khususnya ekonomi kreatif atau ekonomi jingga yang kini diiktiraf sebagai antara sektor berpotensi tinggi dalam menjana pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, pembangunan sektor ini bukan sahaja mampu meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negeri malah berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, melahirkan usahawan kreatif baharu serta memperkasa bakat tempatan khususnya dalam kalangan belia Sabah.
“Hab Kreatif Sabah bukan sekadar sebuah pusat fizikal tetapi berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem industri kreatif yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing.
“Ia boleh menjadi platform untuk latihan, pembangunan bakat, inkubasi perniagaan kreatif, jaringan industri serta pemasaran produk dan perkhidmatan kreatif tempatan,” katanya.
Tegasnya, Kreatif Sabah sebagai salah satu pemegang taruh utama dalam industri kreatif negeri, komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap perancangan serta inisiatif yang dilaksanakan dapat mencapai matlamatnya demi memajukan industri kreatif Sabah ke tahap yang lebih tinggi.