Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut Datuk Masiung Banah menggesa Kerajaan Persekutuan menaikkan kuota subsidi Budi Diesel bagi Sabah dan Sarawak daripada 200 liter kepada 500 liter sebulan berikutan kadar sedia ada tidak mencerminkan realiti perjalanan dan kehidupan harian di kedua-dua negeri.
Masiung yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Sabah (Sabah Backbenchers Club) berkata kuota 200 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian adalah tidak munasabah memandangkan keadaan rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Advertisement

“Jumlah itu hanya mencukupi untuk satu atau dua hari perjalanan di Sabah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Isnin.
Beliau berkata penduduk di kawasan Kuamut memerlukan antara lima hingga enam jam untuk ke Kota Kinabalu dengan penggunaan diesel melebihi 100 liter bagi perjalanan sehala.
Menurutnya masih ramai penduduk luar bandar di Sabah yang tidak mempunyai akses jalan raya dan bekalan elektrik sekali gus bergantung kepada bot sebagai pengangkutan dan generator diesel untuk menjana elektrik.
“Masih ramai penduduk Sabah yang tidak mempunyai jalan raya dan bekalan elektrik. Mereka bergantung kepada bot sebagai pengangkutan dan terpaksa menggunakan generator diesel untuk menghasilkan tenaga elektrik,” katanya.
Advertisement

Masiung berkata keluasan kawasan Kuamut lebih besar daripada negeri Kedah sekali gus menggambarkan cabaran geografi yang dihadapi Sabah.
“Perjalanan 20 minit di Semenanjung mungkin boleh merentasi dua atau tiga negeri tetapi perjalanan tiga jam di Sabah hanya meliputi satu atau dua daerah,” katanya.
Beliau berpandangan dasar subsidi diesel Kerajaan Persekutuan memberi kesan yang lebih besar kepada Sabah dan Sarawak berikutan syarat kelayakan yang lebih ketat menyebabkan ramai penduduk terpaksa membeli diesel pada harga RM3.97 seliter.
Katanya ramai petani, nelayan dan pengusaha bas sekolah luar bandar tidak layak menerima subsidi kerana kenderaan yang digunakan tidak didaftarkan atas nama mereka sendiri sebaliknya diperoleh melalui pinjaman atau pemindahan permit.
“Kita berharap melalui persidangan Dun ini, Kerajaan Persekutuan dapat mengkaji semula dasar subsidi diesel baharu ini mengikut kesesuaian geografi Sabah dan Sarawak,” tambahnya.
Masiung turut mencadangkan supaya bilangan penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur) ditingkatkan daripada 140,000 penerima ketika ini kepada antara 200,000 hingga 300,000 penerima bagi membantu mengurangkan kesan penyasaran subsidi.
Menyentuh isu pentadbiran tempatan beliau menggesa Kerajaan Negeri melantik ketua kampung bagi 12 kampung baharu yang telah diwartakan di Kuamut.
Katanya walaupun Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah dilantik, tiada jawatan ketua kampung diwujudkan di kampung-kampung berkenaan.
“Akibatnya semua urusan berkaitan adat kampung terpaksa bergantung kepada ketua kampung dari kampung berhampiran.
“Seorang ketua kampung kini terpaksa menguruskan dua hingga tiga kampung menyebabkan urusan berkaitan adat seperti pertunangan dan perkahwinan menjadi lambat,” ujarnya.
Beliau berharap perkara itu dapat diberi perhatian pada persidangan Dun akan datang yang dijangka berlangsung pada Oktober atau November sempena pembentangan Belanjawan Sabah 2027.
Dalam pada itu Masiung mengalu-alukan peruntukan tambahan kepada Jabatan Air Negeri Sabah yang disifatkannya antara yang terbesar dalam rang undang-undang berkenaan namun berharap kawasan Kuamut turut menerima manfaat daripada projek infrastruktur air pada masa hadapan.
“Sehingga kini masih tiada bekalan air paip di Sogo-Sogo dan Masaum. Saya berharap kawasan Kuamut diberi perhatian dalam mana-mana belanjawan atau peruntukan tambahan bagi menyelesaikan masalah bekalan air,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kedudukan kewangan Sabah yang semakin kukuh adalah hasil kekayaan sumber asli, pengurusan fiskal yang berhemah sehingga berjaya menarik pelabur baharu serta kestabilan politik negeri.
“Walau sebesar mana sekali pun belanjawan yang kita miliki sama ada puluhan atau ratusan juta ringgit, ia tidak bermakna jika pelaksanaannya tidak sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya sambil menegaskan pegawai kerajaan perlu diberi sokongan mencukupi supaya semua peruntukan yang diluluskan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan.