TAWAU: Seorang lelaki yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan kerana merogol dua anak kandungnya di Lahad Datu dikenakan tambahan hukuman penjara 105 tahun dan 70 sebatan atas tujuh lagi pertuduhan membabitkan anak sulungnya di Tawau.
Dengan hukuman terbaharu itu jumlah keseluruhan hukuman yang dikenakan terhadap lelaki berusia 54 tahun itu kini menjadi 270 tahun penjara dan 180 sebatan.
Advertisement

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman tersebut pada Selasa selepas tertuduh seorang penanam cili dan bekas guru tuisyen sambilan mengaku bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu dijalankan secara berturutan dengan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraannya serta dikenakan perintah menjalani khidmat masyarakat selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Ketujuh-tujuh kesalahan itu melibatkan anak sulungnya yang kini berusia 25 tahun dan dilakukan dalam tujuh kejadian berasingan di tiga buah hotel di Tawau antara Disember 2025 hingga Mac 2026.
Advertisement

Mengikut pertuduhan kesalahan itu dilakukan antara 4 hingga 6 Disember di Jalan Bakau; 18 hingga 19 Disember, 11 hingga 12 Januari, 29 hingga 30 Januari, 25 hingga 26 Februari serta 1 hingga 3 Mac di Jalan Dunlop dan pada 18 hingga 19 Mac di Jalan Masjid.
Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes mangsa tidak mampu menolak perbuatan tertuduh kerana pada mulanya berasa terhutang budi terhadap bapanya yang menanggung perbelanjaan keluarga dan membiayai pendidikannya.
Mahkamah diberitahu bahawa setiap kali mangsa menolak permintaan tertuduh, lelaki itu akan mengingatkannya mengenai pengorbanan dan sumbangannya kepada keluarga serta kos pendidikannya sambil berulang kali berjanji bahawa perbuatan itu adalah kali terakhir.
Pihak pendakwaan memaklumkan jenayah tersebut bermula ketika mangsa berusia 16 tahun dan dilakukan secara terancang.
Tertuduh turut meminta jadual kerja mangsa bagi mengetahui hari cutinya dan mengarahkan mangsa menempah bilik hotel sebelum dia datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk memenuhi nafsunya.
Semasa rayuan hukuman tertuduh yang tidak diwakili peguam berkata dia berasa malu dan takut namun menerima ketentuan yang dihadapinya serta memohon hukuman yang lebih ringan supaya dapat dibebaskan dan memohon maaf kepada keluarganya.
“Saya benar-benar insaf dan amat menyesal atas perbuatan saya. Saya memohon maaf kepada semua. Semoga saya menjadi orang terakhir yang melakukan perkara seperti ini.
“Saya juga memohon semua menghalalkan segala yang pernah diberikan kepada saya. Kepada mereka yang saya berhutang, saya juga memohon agar menghalalkan hutang-hutang saya,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Md Yatin dan Wildan Firdaus Ahmad Fazly.
Pada 8 April lalu Mahkamah Sesyen Lahad Datu menjatuhkan hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya yang masing-masing berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di Lahad Datu antara tahun 2016 hingga 2026.