LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 20-an, yang dilaporkan hilang ketika mengutip hasil laut di Pantai Kampung Mundas, Tungku, pada Selasa, ditemukan maut dipercayai diserang buaya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Jimmy Panyau, berkata mangsa dilaporkan keluar ke laut pada kira-kira jam 7 pagi untuk mengutip hasil daripada pukat yang dipasangnya sehari sebelumnya.
Dipercayai ketika mangsa sedang mengutip hasil tersebut, seekor buaya dipercayai muncul lalu menyerangnya pada bahagian perut dan dada sebelum mangsa tenggelam.
“Ahli keluarga mangsa bersama penduduk kampung kemudian melancarkan operasi mencari sebelum mayat mangsa ditemukan terapung di perairan Pantai Kampung Mundas pada kira-kira jam 10 pagi.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR). Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi SI Mohd Tahir Radin Hassan di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Jimmy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di laut dan perairan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Isnin lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan maut selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Tagupi Darat.
Dalam kejadian itu, jiran mangsa dilaporkan menyaksikan kanak-kanak terbabit diheret ke dalam sungai oleh seekor buaya. Mayat mangsa kemudian ditemukan pada kira-kira jam 2 petang dengan kesan kecederaan pada bahagian belakang badan dan kaki.