Kota Kinabalu: Kerjasama antara Perancis dan Sabah terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif dalam bidang tenaga hijau, ekonomi biru, penyelidikan, pelancongan dan keselamatan maritim.
Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour berkata, usaha itu merangkumi projek sedia ada yang melibatkan syarikat Perancis di Sabah selain meneroka peluang baharu yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kami membincangkan projek yang sedang dilaksanakan di Sabah termasuk penglibatan syarikat Perancis seperti TotalEnergies dalam penerokaan blok laut dalam di luar pesisir Sabah, selain syarikat Technip dan Valorep.
“Selain itu, kami juga melihat peluang memperkukuh kerjasama dalam peralihan tenaga menerusi pembangunan teknologi penangkapan karbon dan inisiatif menghijaukan sektor tenaga.
“Di samping itu, kami turut membincangkan projek inovatif oleh syarikat Perancis, Botanickel di Ranau yang membolehkan nikel diekstrak menggunakan tumbuhan tanpa melibatkan aktiviti perlombongan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Marc berkata projek berasaskan alam semula jadi itu bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan serta latihan kepada komuniti setempat.
Beliau turut menyatakan Perancis berminat memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi biru dan penyelidikan marin menerusi kerjasama antara Pusat Penyelidikan Sains Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan institut penyelidikan marin Perancis, Ifremer.
Menurutnya, institut penyelidikan agronomi Perancis, Cirad turut menjalin kerjasama penyelidikan berkaitan kelestarian industri sawit di Sabah, manakala pembukaan Club Med Resort di Kuala Penyu dijangka memperkukuh sektor pelancongan negeri.
Marc berkata hubungan Malaysia dan Perancis turut diperkukuh menerusi kerjasama keselamatan dan pertahanan maritim, termasuk usaha meningkatkan keselamatan serta kestabilan perairan serantau, khususnya di Sabah.