Kota Kinabalu: Seorang pemilik perniagaan automobil didenda RM3,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret pada Selasa selepas mengaku bersalah gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Mohd Khairul Afis John, 32, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana gagal mematuhi award tribunal bertarikh 28 Oktober 2025 dengan tidak memulangkan RM8,000 kepada penuntut, Asril Shamsuddin dalam tempoh 14 hari seperti yang diperintahkan.
Kesalahan itu dilakukan pada 11 November 2025 di premis Sanny Automobile, Pusat Komersial Bundusan.
Mohd Khairul didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa pada 28 Oktober 2025 Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia mengarahkan Sanny Automobile selaku responden memulangkan RM8,000 kepada penuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.
Bagaimanapun selepas responden gagal mematuhi award tersebut penuntut membuat aduan ketidakpatuhan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 18 November 2025 yang membawa kepada siasatan dan pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN Gunasegaran Krishan.
Lelaki mengaku tidak bersalah langgar perintah pengawasan polis
Dalam prosiding berasingan seorang lelaki berusia 37 tahun didakwa melanggar syarat perintah pengawasan polis apabila gagal berada di alamat berdaftarnya dalam tempoh waktu yang ditetapkan.
Edwin Eking mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak berada di rumah beralamat di Taman Che Mei Lido antara jam 8 malam hingga 6 pagi walaupun tertakluk kepada perintah pengawasan polis di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 14 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah menetapkan 12 Ogos depan untuk pengurusan kes praperbicaraan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin.
Sebagai syarat tambahan jaminan mahkamah turut mengarahkan Edwin melapor diri di balai polis sekali setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.