Kota Kinabalu: Permohonan notis usul yang dikemukakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi memindahkan kes rasuah membabitkan penerimaan suapan berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah ke Mahkamah Tinggi akan didengar pada 27 Oktober depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alexander Siew How Wai turut menetapkan tarikh sama bagi mendengar bantahan pihak pendakwaan terhadap permohonan notis usul berkenaan.
Bekas Adun Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Sesyen bulan lalu sebelum ini memohon agar perbicaraannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya di Mahkamah Tinggi.
Pada 30 Jun 2025 Andi Suryady, 44, yang juga Ahli Parlimen Kalabakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
Beliau didakwa menerima wang suapan berjumlah RM150,000 daripada seorang ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing atau dikenali sebagai Albert Tei sebagai dorongan untuk membantu memudahkan proses permohonan lesen penerokaan mineral milik Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediamannya di Jalan Pantai, Sembulan kira-kira jam 11 malam pada 12 Mei 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.
Andi diwakili barisan peguam terdiri daripada Datuk Ram Singh, Datuk Rizwandean Bukhary M Borhan, Datin Jaharah Patimbangi, Elhanan James, Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prem Elmer Ganasan.