Kota Kinabalu: Syarikat-syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti penerbangan bagi laluan Shanghai-Kota Kinabalu menjelang musim kemuncak pelancongan musim panas didorong oleh peningkatan permintaan perjalanan dari China, yang merupakan antara pasaran sumber pelancong antarabangsa utama Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, berkata peningkatan kapasiti penerbangan itu mencerminkan momentum pasaran yang kukuh serta permintaan berterusan daripada pelancong China.
“Pengembangan berterusan perkhidmatan penerbangan ini menunjukkan keyakinan yang jelas terhadap Sabah sebagai destinasi pilihan pelancong dari China.
“Ia juga mencerminkan perkembangan positif dalam pemulihan dan pertumbuhan sektor pelancongan kita,” katanya.
Dari 1 Julai hingga 7 Oktober, Spring Airlines akan mengendalikan perkhidmatan penerbangan sewa khas di laluan Shanghai-Kota Kinabalu dengan anggaran 99 penerbangan sewa khas dijadualkan sepanjang tempoh terbabit.
Sementara itu, perkhidmatan penerbangan berjadual antara Shanghai dan Kota Kinabalu yang dikendalikan oleh China Eastern akan ditingkatkan kepada dua penerbangan sehari mulai 1 Julai hingga 9 Oktober.
Sepanjang tempoh kemuncak perjalanan musim panas dari 16 Julai hingga 31 Ogos, kekerapan penerbangan akan ditambah kepada tiga penerbangan sehari, menjadikan jumlah keseluruhan dianggarkan melebihi 120 penerbangan dalam tempoh itu.
Sehingga 15 Jun, laluan terbabit telahpun disediakan dengan 14 penerbangan berjadual setiap minggu dari Shanghai, masing-masing tujuh penerbangan dikendalikan oleh AirAsia dan Shanghai Airlines.
Jafry berkata peningkatan kapasiti itu dijangka terus merangsang ketibaan pelancong dari China sepanjang musim cuti kemuncak, selain mengukuhkan hubungan penerbangan Sabah dengan pasaran antarabangsa jarak jauh.
Beliau berkata China Eastern dan Spring Airlines masing-masing mengendalikan rangkaian penerbangan antarabangsa yang meluas di luar China dengan Shanghai berperanan sebagai hab transit antarabangsa utama yang meningkatkan akses global ke Sabah.
Ketibaan pelancong dari China mencatat pertumbuhan memberangsangkan antara Januari hingga April tahun ini, dengan seramai 292,396 pelawat berbanding 195,147 dalam tempoh sama tahun lalu.
“Permintaan yang semakin meningkat ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan udara malah membawa manfaat ekonomi yang lebih luas kepada keseluruhan rantaian nilai industri pelancongan. Kami akan terus memperkukuh hubungan dengan China memandangkan syarikat penerbangan masih menunjukkan minat yang tinggi untuk memperluaskan perkhidmatan mereka,” katanya.
Beliau menambah Lembaga Pelancongan Sabah akan terus bekerjasama dengan rakan syarikat penerbangan di pasaran antarabangsa utama yang lain bagi menyokong pembangunan laluan baharu dan pertumbuhan pelancongan jangka panjang, termasuk persediaan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.