Kota Kinabalu: Sabah bakal memikul tanggungjawab lebih besar dalam pengurusan alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan fasa pertama pemindahan kuasa dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada November ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) Datuk Jafry Ariffin berkata Kerajaan Negeri sedang membuat persiapan bagi peralihan itu menerusi penggubalan undang-undang baharu, garis panduan kawal selia, sistem digital serta program pembangunan keupayaan teknikal.
Beliau berkata penurunan kuasa itu akan dimulakan dengan pengurusan sisa terjadual sekali gus menandakan langkah penting ke arah kawalan yang lebih besar oleh Kerajaan Negeri dalam tadbir urus alam sekitar.
“Ia akan bermula dengan pengurusan sisa terjadual dan langkah ini akan disokong menerusi penggubalan undang-undang serta garis panduan baharu,” katanya ketika merasmikan Simposium Kelestarian Alam Sekitar, Rabu.
Jafry berkata persediaan itu bukan sahaja melibatkan pembaharuan undang-undang malah merangkumi pembangunan sistem pengurusan berasaskan permohonan dalam talian serta program meningkatkan kecekapan teknikal pegawai kerajaan dan pemain industri bagi memodenkan pentadbiran alam sekitar.
Inisiatif itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) di bawah Kepkas.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh pengurusan alam sekitar di Malaysia sambil memelihara khazanah semula jadi Sabah yang kaya.
“Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling, tiada sungai di negeri ini diklasifikasikan sebagai tercemar sepanjang tempoh sembilan tahun dari 2016 hingga 2024 walaupun pertumbuhan industri terus berkembang,” katanya sambil menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti keberkesanan tadbir urus alam sekitar.
Menurutnya, kejayaan itu turut disumbangkan oleh kerjasama erat antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengurus sungai serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pemain industri di seluruh negeri.
Selain usaha pemuliharaan, Jafry berkata Sabah turut muncul sebagai peneraju di peringkat kebangsaan dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar menerusi pelbagai program seperti Environmental Education Race, Persidangan Pendidikan Alam Sekitar, Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS), kempen penanaman pokok sempena Hari Bumi dan Hari Alam Sekitar Sedunia, sambutan Hari Ozon Sedunia serta Hari Alam Sekitar Negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sabah merupakan satu-satunya negeri yang menganjurkan Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (Serasi) iaitu anugerah pengiktirafan alam sekitar kepada komuniti pendidikan.
Simposium selama dua hari itu, yang diadakan sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 peringkat negeri, membawa tema “Sinergi, Teknologi dan Komuniti untuk Masa Depan Hijau.”
Jafry berkata simposium itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai isu-isu alam sekitar semasa, menggalakkan kerjasama antara pakar industri, perunding, penyedia teknologi dan sektor awam, memperkukuh perbincangan mengenai penguatkuasaan undang-undang alam sekitar serta mempamerkan inovasi dan amalan terbaik dalam pengurusan sisa dan tenaga boleh diperbaharui.
“Saya berharap simposium ini berjalan lancar, memberi pemahaman yang lebih jelas kepada para peserta mengenai isu-isu alam sekitar serta mencapai objektif penganjurannya,” katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah Nor Rashidah Mohd Ghazali, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) merangkap Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Rosli Zul, Ketua Penolong Pengarah Kanan Amir Hamzah Musa serta Pengerusi Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Ts Suffian Julmohamad.