SANDAKAN: Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menawarkan telefon bimbit pada harga luar biasa murah.
Ia berikutan dipercayai digunakan untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa bagi tujuan penipuan pembukaan akaun bank secara tidak sah.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah sindiket berkenaan menggunakan iklan telefon pintar murah melalui media sosial, aplikasi pesanan dan platform dalam talian bagi menarik perhatian mangsa.
Mangsa kemudiannya diminta menyerahkan maklumat peribadi termasuk salinan kad pengenalan, imej pengesahan wajah serta butiran lain kononnya untuk tujuan pendaftaran atau pembelian.
Bagaimanapun maklumat tersebut dipercayai disalahgunakan tanpa pengetahuan mangsa untuk membuka akaun bank atau mendaftar perkhidmatan kewangan dalam talian.
Polis berkata akaun berkenaan kemudian digunakan bagi aktiviti jenayah seperti penipuan dalam talian, pengubahan wang haram dan penerimaan dana berkaitan jenayah siber.
Ramai mangsa hanya menyedari mereka telah terkesan selepas menerima notifikasi transaksi mencurigakan, laporan kredit atau dipanggil pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
JSJK Sabah turut memberi amaran bahawa mangsa berisiko berdepan implikasi serius termasuk kecurian identiti, rekod kredit terjejas, kerugian kewangan serta siasatan undang-undang walaupun tidak mengetahui maklumat mereka disalahgunakan.