Kota Kinabalu: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) memperkenalkan inisiatif baharu dikenali sebagai Solar Rakyat Sabah bagi memperkasa pengguna domestik menjana sendiri tenaga elektrik melalui pemasangan panel solar di bumbung rumah dengan lebihan tenaga boleh dieksport ke grid elektrik sebagai kredit bil elektrik.
Program ini bertujuan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan pengguna domestik di seluruh negeri sekali gus menyokong usaha Sabah ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan dan inklusif selain mengurangkan kos elektrik isi rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata program itu dianggarkan memberi manfaat kepada sehingga 4,000 pengguna domestik di Sabah.
“Program ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan tenaga boleh baharu dapat diakses oleh isi rumah di Sabah.
“Kita mahu memudahkan dan menjadikan tenaga bersih lebih mampu milik,” katanya.
Program ini terbuka kepada semua pengguna domestik di Sabah yang belum menyertai program solar sebelum ini dan dilaksanakan melalui model penggunaan sendiri (self-consumption) di mana pengguna boleh memasang panel solar untuk kegunaan rumah manakala lebihan tenaga akan disalurkan ke grid.
Rumah fasa tunggal dibenarkan memasang sistem sehingga 5 kWac manakala rumah tiga fasa sehingga 10 kWac.
Pengguna juga boleh memilih untuk memasang Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) sebagai bekalan sokongan.
Meter pintar baharu jenis dua arah akan dipasang bagi merekod tenaga yang diimport dan dieksport membolehkan pengguna memperoleh kredit pada kadar tarif semasa untuk mengurangkan bil elektrik.
Di bawah program ini pengguna akan menandatangani kontrak selama 12 tahun dengan Sabah Electricity (SE) sebelum ditukar kepada model SELCO-PV untuk kegunaan sendiri sahaja selepas tamat tempoh tersebut.
Selain pembelian terus pengguna juga boleh memilih skim tanpa bayaran pendahuluan yang ditawarkan oleh pelabur PV berdaftar Sabah (SaRPVI).
Permohonan dibuka secara siapa cepat dia dapat sehingga kuota 20 MW dipenuhi dan perlu dibuat secara dalam talian melalui platform EEISy.
Tiada lesen penjanaan diperlukan bagi sistem solar voltan rendah di bawah program ini, sekali gus mengurangkan birokrasi kepada isi rumah.
Inisiatif Solar Rakyat Sabah merupakan langkah langsung ke arah merealisasikan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) selain memperkukuh sektor tenaga yang lebih berdaya tahan dan mesra alam di negeri ini.
Orang ramai boleh melayari laman rasmi ECoS di
www.ecos.gov.my untuk maklumat lanjut dan permohonan.