TAWAU: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu selepas didapati bersalah mengedar 359.1 gram syabu dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Rolan, 28, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Rolan didapati bersalah mengedar dadah itu di tepi jalan di Estet Sungai Balung kira-kira jam 7.30 malam pada 25 Februari 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika disabitkan kesalahan.
Dalam penghakimannya Steve berkata hukuman itu dijatuhkan selepas mengambil kira hujahan serta rayuan mitigasi daripada kedua-dua pihak selain kepentingan awam.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara seumur hidup itu berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Februari 2024.
Terdahulu peguam bela Mohamed Zairi Zainal Abidin memohon hukuman lebih ringan dengan alasan anak guamnya yang masih bujang menyara keluarganya melalui pekerjaan sebagai mekanik.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan menegaskan kuantiti dadah yang dirampas merupakan faktor yang memburukkan kesalahan.
Beliau turut berhujah bahawa tertuduh jelas terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah apabila ditahan di tepi jalan ketika dipercayai sedang menunggu pembeli sekali gus menunjukkan penglibatan aktifnya dalam aktiviti tersebut.