Kota Kinabalu: Mazlan Herma dari Shan-Shui Golf & Country Club merangkul gelaran gross lelaki pada Kejohanan Golf Terbuka Amatur TGC (Kelab Golf Tawau) ke-24 yang berlangsung baru-baru ini.
Mazlan memenangi hadiah utama dengan catatan skor keseluruhan tiga hari sebanyak 227 pukulan, diikuti oleh Suzairi Iqmah dari TGC di tempat kedua (233) dan Abdullah Dania dari Persatuan Golf Malaysia (MGA) di tempat ketiga (235).
Gelaran kategori nett dimenangi oleh Roslan Mustamin (142), diikuti Mohd Rashiman Ambo (143) di tempat kedua dan Hasnata Hasan (145) di tempat ketiga; manakala tiga pemenang utama bagi kategori jemputan ialah Datuk Peter Koh, Hj Syah Rizal dan Edora Mojiniu.
Bagi kategori wanita, Jamie Tan muncul juara gross dan Nurul Syahirah di tempat kedua, sementara Julia Hwong dan Elaine Quek menguasai dua tempat teratas dalam kategori nett.
Seramai 233 pemain menyertai kejohanan ini, yang turut menyaksikan Mazlan melakukan pukulan ‘hole-in-one’ pada hari pertama di lubang keempat, manakala Jonathan mencatatkan pencapaian serupa pada hari kedua di lubang keenam.
Sementara itu, TGC turut menganjurkan Kejohanan Golf Terbuka Amatur Lelaki Senior ke-6 seminggu lebih awal, yang menarik penyertaan seramai 131 pemain.
Lee Ka Tung (146) muncul sebagai pemenang gross, diikuti oleh Mitchell Graham (150) dan Johari Ahmad (165), manakala Taib Arjani (134), Chin Thau Kim (146) dan Ng Loong Fah menduduki tiga tempat teratas dalam kategori nett.