Kota Kinabalu: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menggesa semua pihak menghormati proses undang-undang serta tidak menjadikan demonstrasi sebagai alat politik yang boleh menjejaskan kestabilan negeri.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kapayan Datuk Stephen Jimbangan berkata penyertaan beberapa pemimpin Parti Warisan dalam Himpunan Aman Suara Mahasiswa UMS 3.0 baru-baru ini menunjukkan kurangnya penghormatan terhadap proses undang-undang serta berpotensi mengganggu kestabilan politik Sabah.
Beliau berkata penglibatan pemimpin politik dalam perhimpunan itu turut menimbulkan persepsi bahawa isu yang masih dalam siasatan dan tindakan pihak berkuasa sedang dipolitikkan untuk kepentingan tertentu.
“Tindakan sedemikian tidak menyumbang kepada persekitaran politik yang stabil dan matang di Sabah.
“Semua parti khususnya pemimpin politik perlu menunjukkan teladan dengan menghormati proses undang-undang serta memberi ruang kepada agensi penguat kuasa menjalankan tanggungjawab mereka secara bebas, telus dan profesional,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Stephen berkata sebarang dakwaan berkaitan kartel perlombongan mineral di Sabah termasuk cubaan memonopoli sumber mineral perlu disiasat dan diputuskan berdasarkan bukti serta prinsip kedaulatan undang-undang, bukannya melalui tekanan politik atau demonstrasi jalanan.
Advertisement

Beliau turut mendakwa Himpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0 yang dianjurkan Suara Mahasiswa UMS dan Bersih pada 4 dan 5 Julai mendapat sambutan hambar apabila dihadiri kurang daripada 100 peserta.
Menurutnya beberapa pemimpin Parti Warisan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Chin Teck Min dan Adun Likas Tham Yun Fook dilihat menyertai perarakan demonstrasi itu.
Sementara itu Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kiulu Datuk George Teo berkata rakyat Sabah telah memberikan mandat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus menerajui agenda pembangunan negeri demi kepentingan rakyat.
“Sebarang usaha tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat kestabilan politik negeri hanya akan merugikan rakyat.
“Kami menggesa semua pihak menghentikan usaha yang boleh meningkatkan ketegangan politik serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguat kuasa dan sistem keadilan negara,” katanya.
Beliau menegaskan kestabilan politik, penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang serta kepentingan rakyat Sabah perlu sentiasa diutamakan mengatasi kepentingan politik mana-mana pihak.