Mon, 6 Jul 2026
Headlines:
Kerajaan Persekutuan digesa percepat gubal, laksana Akta Pembiayaan Politik
Published on: Sunday, July 05, 2026
Published on: Sun, Jul 05, 2026
By: Cynthia D Baga
Text Size:
Text:
Kerajaan Persekutuan digesa percepat gubal, laksana Akta Pembiayaan Politik
KOTA KINABALU: Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Himpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penggubalan dan pelaksanaan Akta Pembiayaan Politik Malaysia bagi memperkukuh integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem politik negara.

NGO berkenaan merujuk kepada kes kartel mineral Albert Tei di Sabah sebagai bukti perlunya Akta Pembiayaan Politik diwujudkan dengan segera bagi melindungi integriti dan ketelusan sistem politik Malaysia.

Advertisement
Gesaan itu dikemukakan menerusi memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diserahkan kepada wakil beliau semasa perhimpunan itu, pada Sabtu.

Memorandum berkenaan ditandatangani bersama oleh Presiden Persatuan Pemangkin Komuniti Sabah (PKOMS), Terence Sinti; Presiden Persatuan Pemangkin Wanita Sabah (PWS), Julianah Ekong @ Ekang; Penaung Pertubuhan Gerakan Kebajikan Anak Sabah (Gerkas), Mohd Gerseyrey Mulok; Pengerusi Pertubuhan Amal Semangat Rumpun Sabah, Mohamad Rafly Karim; dan Penasihat Persatuan Inovasi Masyarakat Sabah, Lee Fook Lim.

SPONSORED CONTENT
The 2026 D-MAX also introduces an 8-speed automatic gearbox with sequential shift across the range, including the Single Cab variant, making it the first pick-up truck in Malaysia to offer an automatic transmission in that body style.
Menurut NGO berkenaan, pembiayaan politik yang tidak dikawal selia dengan sewajarnya boleh membawa kepada konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa serta persepsi rasuah dalam pentadbiran awam.

Mereka berkata Malaysia masih belum mempunyai undang-undang yang komprehensif bagi mengawal penerimaan, penggunaan dan pendedahan dana politik oleh parti politik serta calon pilihan raya.

Advertisement
Menurut mereka, ketiadaan kerangka perundangan yang jelas boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi dan proses pilihan raya.

Sehubungan itu, organisasi berkenaan mengemukakan enam tuntutan utama kepada Kerajaan Persekutuan.

Advertisement
Tuntutan pertama ialah penggubalan segera Akta Pembiayaan Politik menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik di Parlimen dalam tempoh yang munasabah bagi memastikan ketelusan pembiayaan politik.

Kedua, mewajibkan pendedahan sumbangan politik dengan menghendaki semua parti politik dan calon pilihan raya mengisytiharkan sumber sumbangan yang melebihi had yang ditetapkan oleh undang-undang.

Ketiga, melarang penerimaan dana daripada sumber yang menyalahi undang-undang, termasuk hasil kegiatan jenayah, pengubahan wang haram dan entiti asing yang boleh mempengaruhi kedaulatan negara.

Keempat, mereka menggesa kerajaan menetapkan had sumbangan politik daripada individu dan syarikat bagi mengelakkan pengaruh yang tidak seimbang terhadap proses politik.

Selain itu, memorandum berkenaan turut menggesa penubuhan sebuah badan penyelia bebas yang mempunyai kuasa untuk menyiasat, mengaudit dan menguatkuasakan pematuhan terhadap Akta Pembiayaan Politik yang dicadangkan.

Tuntutan keenam ialah mengenakan hukuman tegas, termasuk denda dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan akta berkenaan.

Menurut memorandum itu, pelaksanaan Akta Pembiayaan Politik akan menjadi satu langkah penting ke arah memperkukuh integriti institusi demokrasi, meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Salinan memorandum itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here