Kota Kinabalu: Dua wanita warga asing masing-masing dari Indonesia dan Thailand didenda keseluruhan RM5,700 oleh Mahkamah Majistret pada Khamis selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks untuk tujuan pelacuran.
Rustiani Jakari, 33, warga Indonesia didenda RM3,000 atau penjara tujuh bulan oleh Majistret Marilyn Kelvin selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah pusat urut di Harbour City pada jam 9.35 malam, 11 Julai lalu.
Sementara itu Miss Wannisa Nukunthonprakit, 40, warga Thailand, didenda RM2,700 atau penjara empat bulan oleh Majistret Dzul Elmy Yunus selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama di sebuah premis di Asia City pada jam 11 malam, 18 Julai lalu.
Mahkamah diberitahu bahawa dalam kes Rustiani, sepasukan polis yang menjalankan Ops Noda menyerbu pusat urut berkenaan selepas menerima maklumat.
Polis memperkenalkan diri kepada seorang wanita yang memaklumkan hanya sebuah bilik digunakan oleh seorang pekerja dan pelanggan.
Pemeriksaan di bilik itu menemui Rustiani yang bekerja sebagai tukang urut bersama seorang pelanggan lelaki dalam keadaan bogel sedang melakukan hubungan seks.
Advertisement

Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan Rustiani kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran.
Dalam kes Wannisa pula pendakwaan memaklumkan polis menyerbu premis berkenaan ketika Ops Noda dan menemui wanita itu yang bekerja sebagai ahli terapi dalam keadaan bogel bersama seorang pelanggan lelaki di dalam sebuah bilik.
Siasatan mendapati Wannisa secara sukarela menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan dengan bayaran RM250 bagi mendapatkan pendapatan tambahan.
Wanita itu turut mengakui bertindak atas kehendaknya sendiri tanpa pengetahuan atau arahan pihak pengurusan premis.
Peguam Lim Ming Zoong yang mewakili Wannisa memohon hukuman ringan dengan memaklumkan anak guamnya memiliki pasport yang sah sehingga Februari tahun depan serta sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.
Wannisa memberitahu mahkamah dia melakukan kesalahan itu bagi mendapatkan wang untuk menyara neneknya dan menyesali perbuatannya.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Yusdi Basri dan Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.