KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang meneliti secara serius cadangan yang sekian lama dikemukakan untuk membina hospital baharu di Ranau, sebagai usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan di daerah itu serta menggantikan kemudahan perubatan sedia ada yang semakin uzur.
Perkara itu didedahkan menerusi jawapan bertulis KKM kepada soalan Parlimen yang dikemukakan Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin
(gambar) pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15.
Advertisement

Dalam soalannya, Jonathan meminta perkembangan mengenai cadangan pembinaan hospital pakar di Ranau, sambil memaklumkan tapak bagi projek itu telah lama dikenal pasti serta berharap kementerian mempertimbangkan secara serius pembinaan sama ada hospital pakar atau hospital baharu bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di daerah berkenaan.
Dalam jawapannya, KKM mengakui keperluan mendesak untuk meningkatkan kemudahan kesihatan di Ranau dan memaklumkan cadangan pembinaan hospital baharu itu kini sedang dinilai di bawah kerangka perancangan pembangunan kementerian.
Menurut kementerian, projek yang dicadangkan itu bertujuan memperluas kapasiti perkhidmatan kesihatan di samping menggantikan hospital sedia ada yang semakin tidak mampu memenuhi keperluan semasa.
Bagaimanapun, kementerian menjelaskan pelaksanaan projek itu ketika ini berdepan kekangan berkaitan tapak yang dicadangkan, khususnya keluasan tanah yang terhad serta keadaan topografi yang tidak sesuai untuk pembangunan hospital berskala besar.
Advertisement

Bagi mengatasi cabaran itu, KKM memaklumkan beberapa lokasi alternatif kini sedang dinilai bagi mengenal pasti tapak yang lebih sesuai dan strategik.
Antara lokasi yang dipertimbangkan ialah tanah milik kerajaan negeri di bekas landasan kapal terbang Ranau, yang dilihat mempunyai potensi lebih besar berikutan keluasan kawasan serta bentuk muka bumi yang lebih sesuai untuk pembangunan hospital.
KKM turut memaklumkan pihaknya mengalu-alukan kerjasama erat semua pihak berkepentingan, termasuk Ahli Parlimen Ranau dan Kerajaan Negeri Sabah, bagi memudahkan proses mendapatkan tapak yang sesuai supaya cadangan itu dapat diteruskan ke peringkat perancangan dan penilaian seterusnya.
Jawapan bertulis itu memberi sinar harapan baharu kepada penduduk Ranau dan daerah berhampiran yang sekian lama mengharapkan sebuah hospital moden bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.
Sebagai antara daerah terbesar di Sabah yang bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada penduduk setempat, malah komuniti di kawasan sekitar, Ranau berdepan tekanan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kesihatannya selaras dengan pertambahan penduduk dan peningkatan keperluan perubatan.
Sekiranya cadangan pembinaan hospital itu diteruskan, ia dijangka dapat meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, mengurangkan kesesakan pesakit, memperkukuh perkhidmatan perubatan pakar serta meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan bagi masyarakat di Ranau dan kawasan pedalaman sekitarnya.
Bagi kebanyakan penduduk, pengumuman itu merupakan satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan hasrat yang telah lama dinantikan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan serta kualiti hidup generasi akan datang.