Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang melaksanakan model kewangan baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil tradisional, di samping mempercepat pelaksanaan agenda Bandar Pintar.
Mayor Kota Kinabalu, Datuk Dr Sabin Samitah berkata DBKK tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil cukai taksiran, lesen perniagaan dan sewaan bagi membiayai perkhidmatan serta pembangunan bandar pada masa hadapan.
Advertisement

“Jika kita mahu mengurus bandar pada abad ke-21, kita tidak boleh terus menggunakan model kewangan yang direka untuk abad ke-20,” katanya selepas merasmikan Karnival KK Greenovation 2026 di Padang Merdeka, di sini.
Beliau berkata antara inisiatif utama di bawah model kewangan baharu itu ialah peluasan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan kecerdasan buatan (AI) di seluruh bandar.
Menurutnya, kamera yang disambungkan ke pusat kawalan DBKK itu mampu mengesan pergerakan dan bunyi, berfungsi dalam keadaan pencahayaan rendah serta merakam imej bagi membantu mencegah jenayah dan vandalisme.
Katanya, sistem berkenaan turut membolehkan tindakan lebih pantas diambil terhadap sesuatu insiden.
“Sebagai contoh, jika sesuatu kawasan menjadi sesak, anggota penguat kuasa boleh digerakkan serta-merta untuk membantu.
“Kita juga boleh melaras tempoh lampu isyarat dari jauh mengikut keadaan trafik. Ini akan membantu melancarkan aliran trafik dan membolehkan penyampaian perkhidmatan menjadi lebih cekap.
“Daripada menunggu aduan orang ramai bahawa lampu isyarat rosak selama tiga hari, kita boleh mengesan masalah itu lebih awal dan mengambil tindakan segera,” katanya.
Sabin berkata teknologi itu juga dijangka mengurangkan kes kecurian kabel dan kerosakan aset kerajaan, sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan serta penggantian.
Beliau berkata data yang dikumpul menerusi sistem Bandar Pintar turut berpotensi menjana sumber pendapatan baharu melalui pengiklanan dan kerjasama perkongsian data.
Terdahulu, Sabin berkata karnival tersebut, yang dianjurkan di bawah Program Kelestarian Komuniti Bandar dengan pembiayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertujuan memperkukuh penyertaan masyarakat dalam membangunkan bandar yang mampan dan inovatif.
Katanya, DBKK tidak mampu membangunkan serta mengurus Kota Kinabalu secara bersendirian, sebaliknya memerlukan sokongan masyarakat dalam menjaga kemudahan awam, memelihara kawasan hijau dan memastikan kebersihan bandar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bank Muamalat, sekolah-sekolah serta ahli program KK Smart City Friends atas sokongan terhadap inisiatif itu.
Menurutnya, rangkaian KK Smart City Friends kini mempunyai kira-kira 6,000 ahli yang membantu menyalurkan maklumat serta melaporkan kerosakan dan pelbagai isu di sekitar bandar.
Sabin berkata karnival itu menjadi platform berkesan untuk mendidik masyarakat menerusi penyertaan secara langsung dan pengalaman praktikal.
Pelbagai aktiviti diadakan semasa karnival, termasuk Program Penanaman Pokok Green Footprint, pameran teknologi hijau, demonstrasi Internet Kebendaan (IoT), Cabaran TikTok Green Footprint, Green Tech Explorer, pertandingan mewarna, Pertandingan AI Jingle serta bengkel pendidikan.
“Semua aktiviti ini membawa mesej penting bahawa pemeliharaan alam sekitar bermula dengan tindakan yang konsisten,” katanya.
Beliau berharap karnival itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berteraskan penyelidikan, inovasi dan teknologi hijau yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.