BEAUFORT: Sebanyak RM6 juta diperuntukan oleh Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah dalam usaha menambahbaik kompleks sukan daerah dengan menaiktaraf padang dan padang balapan.
Menterinya Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata demikian semasa mengadakan tinjauan ke Kompleks Sukan Beaufort pada Sabtu dalam rangka lawatan dan jelajah ke kompleks sukan seluruh negeri.
Advertisement

Beliau amat berpuas berpuashati dengan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor dalam usaha menaiktaraf padang serta balapan dan mendapat jaminan daripada kontraktor menyiapkan kerja tersebut selewat-lewatnya awal tahun depan.
“Saya juga berpuas hati dengan pengurusan di kompleks sukan ini dan saya juga menyampaikan amanat supaya dapat memastikan apa juga kemudahan atau fasilitis agar dapat dijaga dengan baik, khususnya dewan serbaguna berbumbung yang baru siap.
“Sebarang kerosakan harus diambil tindakan segera dan saya juga mengambil perhatian berhubung pertambahan kemudahan yang perlu,” katanya.
Nizam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemimpin terutama Wakil Rakyat DUN Klias Datuk Isnin Aliasnih kerana sentiasa memberi sokongan kepada KBSK.
Advertisement

Isnin yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, berharap kemudahan yang disediakan, termasuk kolam renang yang akan dibina, dapat memudahkan penduduk tempatan terutamanya pelajar sekolah.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah dan Setiausaha Tetap KBSK, Pegawai Daerah, Pengurus Kompleks Sukan Beaufort serta Unit Pemimpin Pembangunan Rakyat DUN Klias.
Dalam perkembangan lain, Nizam memberitahu program penyerahan bendera kepada kontinjen Sukma akan diadakan dalam waktu terdekat dan berharap atlet yang terpilih dapat memberikan persembahan terbaik pada temasya sukan itu.