SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas sisik tenggiling, rokok tidak bercukai dan diesel bersubsidi bernilai hampir RM1.5 juta menerusi empat operasi berasingan di daerah ini sepanjang Jun dan Julai tahun ini.
Pengarah Kastam Sabah Ahmad Taufik Sulaiman berkata rampasan itu membabitkan 100 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM1.3 juta, 95,080 batang rokok pelbagai jenama tidak bercukai serta 2,645 liter diesel bersubsidi.
Advertisement

Beliau berkata rampasan terbesar dilakukan pada 6 Julai apabila sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sandakan bersama Unit Kargo Sandakan menemukan 100kg sisik tenggiling dalam pemeriksaan berkala di pintu masuk kargo udara Sandakan.
“Siasatan awal mendapati sisik tenggiling itu dipercayai cuba dieksport tanpa permit atau kelulusan Jabatan Hidupan Liar Sabah seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
“Sindiket juga dipercayai mengikrarkan dagangan sebagai barangan lain dalam Borang Kastam No. 3 bagi mengelirukan pemeriksaan dan mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sandakan, di sini, Khamis.
Turut hadir Ketua Kastam Sandakan Mohd Nazrin Abdullah @ Jaikol Mekahuil @ Simon.
Ahmad Taufik berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
Beliau berkata bagi individu yang disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi setiap haiwan, bahagian haiwan atau terbitan spesies terjadual, tertakluk kepada denda agregat maksimum RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya.
Dalam kes kedua pada 15 Jun, beliau berkata pasukan penguatkuasaan menemukan 80,000 batang rokok tidak bercukai yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran Kampung Bariawa, Batu 8.
Rampasan itu dianggarkan bernilai RM16,000 dengan duti dan cukai RM56,160.
“Sindiket dipercayai menggunakan kawasan semak dan tersorok sebagai lokasi penyimpanan sementara sebelum rokok berkenaan diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Dalam kes ketiga pada pada 16 Jun, JKDM merampas 15,080 batang rokok pelbagai jenama bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan parkir di Jalan Sedco, Batu 2½.
Rokok itu dianggarkan bernilai RM3,350 dengan duti dan cukai RM10,619.56, manakala kenderaan berkenaan dianggarkan bernilai RM50,000.
“Siasatan mendapati sindiket dipercayai menggunakan kenderaan sewa bagi mengaburi pergerakan dan mengurangkan risiko dikaitkan secara langsung dengan aktiviti penyeludupan rokok,” katanya.
Sementara itu, menerusi Op Tiris 4.0 pada 3 Jun, JKDM merampas 2,645 liter diesel bersubsidi yang disimpan dalam 60 tong minyak, sebuah tangki air plastik dan sebuah tong fiber di kawasan Jeti Pasar Umum Sandakan.
Beliau berkata rampasan diesel itu dianggarkan bernilai RM12,352.15 dengan duti dan cukai RM1,587, dipercayai untuk diseludup keluar negara melalui jalan laut.
Taufik berkata ketiga-tiga kes melibatkan rokok dan diesel disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Ahmad Taufik berkata keseluruhan nilai barang yang dirampas bagi empat kes itu ialah RM1,381,702.15 dengan jumlah duti dan cukai RM68,366.56, menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1,450,068.71.
Beliau berkata JKDM akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti penyeludupan bagi melindungi hasil negara serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran. Beliau memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.