Kota Kinabalu: Yayasan Usahawan Sosial Malaysia (MSEF) membawa Program Chef Junior, program utama kendaliannya, ke Malaysia Timur buat julung kali, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam usaha memperkasa pembentukan sahsiah, kesyukuran dan kemahiran hidup menerusi pendidikan kulinari di seluruh negara.
Pencapaian itu diraikan menerusi Majlis Apresiasi Chef Junior pertama di Sabah, yang menyaksikan lebih 130 murid sekolah rendah daripada lapan sekolah menyediakan hidangan jamuan 10 sajian untuk kira-kira 400 tetamu jemputan selepas menjalani latihan kulinari berstruktur selama hampir setahun.
Advertisement

Presiden Yayasan Usahawan Sosial Malaysia (MSEF) Datuk Tseng Hua Kien berkata, yayasan itu menghabiskan tempoh lima tahun lalu bagi memperhalusi program berkenaan sehingga menjadi model pendidikan yang terbukti berkesan dan boleh diguna pakai oleh sekolah di seluruh Malaysia.
“Kami bukan sekadar menganjurkan lima edisi Majlis Apresiasi Chef Junior, malah berjaya membangunkan satu model yang boleh dicontohi oleh sekolah di seluruh negara.
“Bermula hari ini, kami berharap rangka kerja ‘Chef Junior Recipe of Gratitude’ dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah supaya lebih ramai kanak-kanak bukan sahaja belajar memasak, malah belajar menghargai,” katanya dalam ucapan pada majlis itu, Sabtu.
Tseng berkata MSEF percaya aktiviti memasak merupakan platform berkesan bagi pendidikan sahsiah kerana ia mengajar kanak-kanak lebih daripada sekadar kemahiran kulinari.
Advertisement

Beliau berkata Program Chef Junior menggabungkan pendidikan makanan, pendidikan kehidupan dan pembangunan sahsiah, sekali gus menggalakkan kanak-kanak memupuk rasa tanggungjawab, semangat kerja berpasukan dan kesyukuran, di samping menghargai makanan, menghormati ibu bapa dan guru serta sedia berkhidmat kepada orang lain.
“Sepinggan hidangan mampu mengenyangkan perut, tetapi satu kelas memasak mampu mengubah kehidupan seorang kanak-kanak,” katanya.
Sejak diperkenalkan, MSEF telah melaburkan lebih RM3.39 juta bagi melaksanakan program itu, yang kini diperluaskan ke 59 sekolah di seluruh negara dan memberi manfaat kepada kira-kira 21,000 pelajar.
Beliau berkata peluasan program ke Sabah bukan sekadar penganjuran satu lagi majlis apresiasi.
“Kami bukan sekadar membawa satu majlis jamuan ke Malaysia Timur. Sebaliknya, kami berharap falsafah pendidikan ini akan berakar umbi di lebih banyak sekolah.
Angka-angka ini bukan sekadar mencerminkan skala program, tetapi menunjukkan keyakinan yang semakin berkembang bahawa pendidikan bermakna boleh bermula di dapur,” katanya.
Majlis Apresiasi Chef Junior yang diadakan setiap tahun merupakan kemuncak kepada hampir setahun pembelajaran secara praktikal. Sejak Ogos tahun lalu, murid yang menyertai program itu mengikuti kelas mingguan setiap Sabtu di Sekolah Menengah Kian Kok, yang meliputi penyediaan bahan, kemahiran menggunakan pisau, teknik memasak dan kerja berpasukan sebelum mengaplikasikan pengetahuan itu dengan menyediakan jamuan lengkap kepada tetamu jemputan.
Tseng turut mengetengahkan pendekatan pembelajaran rakan sebaya “Big Hands, Little Hands”, yang menyaksikan pelajar Program Seni Kulinari Sekolah Menengah Kian Kok membimbing peserta yang lebih muda sepanjang latihan.
“Ketika murid sekolah rendah menguasai kemahiran kulinari secara praktikal, mentor sekolah menengah pula memperoleh pengalaman berharga dalam aspek kepimpinan, komunikasi, tanggungjawab dan khidmat masyarakat,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan kepercayaan MSEF bahawa pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi berkembang bersama menerusi bimbingan dan pengalaman dunia sebenar.
Program tahun ini menghimpunkan pelajar daripada lapan sekolah di Sabah, sekali gus menjadi Majlis Apresiasi Chef Junior berskala besar pertama diadakan di Malaysia Timur sejak program itu diperkenalkan lima tahun lalu.
Bagi Tseng, kejayaan program itu tidak diukur berdasarkan hidangan yang disediakan, sebaliknya menerusi nilai murni yang berjaya diterapkan.
“Apabila kanak-kanak belajar menghargai makanan, menghargai ibu bapa, menghormati guru dan sedia berkhidmat kepada orang lain, maka matlamat sebenar program ini telah tercapai,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Kian Kok Datuk Clement Yeh Chang berkata Program Seni Kulinari sekolah itu telah menjadi platform penting dalam memupuk kemahiran praktikal dan pembentukan sahsiah golongan muda.
“Sejak diperkenalkan empat tahun lalu, lebih 80 peratus graduan kami memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan kulinari,” katanya dalam ucapan, sambil menambah bahawa pendidikan vokasional bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang mempunyai nilai kebolehpasaran, malah membantu mereka meneroka laluan kerjaya yang bermakna.
Beliau berharap Program Chef Junior dapat membantu pelajar menghargai masa, kesabaran dan usaha yang diperlukan untuk menyediakan walaupun hidangan paling ringkas, sekali gus menyedarkan mereka akan pengorbanan harian ibu bapa dalam menyediakan makanan untuk keluarga.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran buku panduan “Recipe for Gratitude” bagi Program Pendidikan Kesyukuran Chef Junior serta penyerahan trofi legasi “Chef Junior Appreciation Night” kepada Penang Chinese Girls’ Private High School.