MENUMBOK: Sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berlangsung melibatkan agensi kerajaan kedua-dua pihak bagi mengambil kira realiti di peringkat akar umbi berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di ketiga-tiga wilayah itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata proses libat urus bagi mengenal pasti isu pelaksanaan serta cadangan penambahbaikan kini digerakkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), selaku kementerian yang bertanggungjawab merangka dasar penyasaran subsidi bahan api.
Advertisement

“Apabila pelaksanaannya, yang sebelum ini dimulakan di Semenanjung pada 2024, diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan, memang terdapat beberapa isu yang timbul.
“Namun Kerajaan Persekutuan telah menyatakan kesediaan untuk menambah baik pelaksanaan itu dengan kerjasama kerajaan negeri kerana mereka lebih memahami realiti dan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Kampung Angkat Madani, di sini, Sabtu.
Turut hadir Adun Kuala Penyu yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury.
Mengulas cadangan penambahbaikan mekanisme subsidi bahan api di Sabah, Sarawak dan Labuan, Armizan berkata MOF telah memulakan sesi libat urus bersama agensi kerajaan di Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti cabaran pelaksanaan serta penyelesaian yang bersesuaian supaya penyasaran subsidi diesel dapat disesuaikan dengan realiti di wilayah berkenaan.
Beliau berkata sesi itu akan diteruskan menerusi pertemuan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dengan wakil rakyat bagi mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai isu-isu unik yang dihadapi di kawasan masing-masing.
“Ada kes tertentu yang agensi Persekutuan tidak mempunyai capaian di peringkat akar umbi, maka agensi kerajaan negeri boleh membantu proses pendaftaran dan pengesahan kumpulan sasar.
“Apabila data dan pengesahan dapat dilakukan dengan baik, saya yakin Kerajaan Persekutuan bersedia membuat penambahbaikan supaya subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Armizan berkata sebarang penambahbaikan terhadap mekanisme subsidi perlu mengambil kira tiga aspek utama iaitu kos sara hidup rakyat, pengurusan risiko ketirisan subsidi dan kedudukan fiskal kerajaan.
Beliau berkata pendekatan pemberian subsidi secara menyeluruh tidak lagi sesuai, sebaliknya bantuan perlu disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Bantuan kepada golongan susah tidak boleh dikompromi. Kerajaan mesti membantu mereka bagi meringankan beban kos sara hidup,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan turut menjelaskan kekeliruan yang sering timbul mengenai peranan KPDN dan MOF dalam pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api.
Beliau berkata dasar dan polisi subsidi bahan api ditentukan sepenuhnya oleh MOF, manakala KPDN hanya melaksanakan tanggungjawab mengikut bidang kuasa yang diberikan kerajaan.
Katanya, peranan KPDN adalah mengawal selia stesen minyak kerana pelaksanaan subsidi berlaku di premis berkenaan, manakala sebarang perubahan dasar atau penambahbaikan polisi berada di bawah tanggungjawab MOF.
“Itulah sebabnya rundingan dan libat urus berkaitan penambahbaikan penyasaran subsidi ini diketuai oleh MOF,” katanya, sambil berharap penjelasan itu dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul sebelum ini.
Mengenai bantuan kepada perusahaan kecil, Armizan berkata Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan penambahbaikan awal menerusi peluasan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada syarikat kecil yang sebelum ini tidak layak menerima kemudahan fleet card.
Menurutnya, sebelum ini hanya sektor pengangkutan awam dan pengangkutan barangan keperluan pengguna layak menyertai skim berkenaan, sedangkan ramai kontraktor kecil dan pengusaha perusahaan kecil di Sabah menggunakan kenderaan diesel bagi menjalankan operasi perniagaan tetapi tidak termasuk dalam dua kategori itu.
“Ramai peniaga kecil mendaftarkan kenderaan diesel atas nama syarikat milikan tunggal atau perkongsian dan bukan atas nama individu, menyebabkan mereka juga tidak layak menerima Budi Diesel kerana pemilikan kenderaan bukan atas nama individu.
“Justeru, kita membawa isu dan cadangan ini ke Kabinet dan telah diluluskan supaya syarikat kecil yang berdaftar di bawah kategori tersebut turut menerima kemudahan kad armada,” katanya.
Armizan berkata setiap syarikat kecil yang layak kini akan menerima kuota sebanyak 300 liter diesel bersubsidi sebulan menerusi fleet card walaupun kenderaan didaftarkan atas nama syarikat.
Beliau berkata langkah itu membuktikan Kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia menambah baik pelaksanaan subsidi berdasarkan keperluan sebenar rakyat serta data yang tepat.
“Paling penting ialah kita mempunyai mekanisme yang jelas, data yang lengkap dan kumpulan sasar yang dapat dikenal pasti supaya subsidi benar-benar diberikan kepada mereka yang layak.
“Kita berharap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus diperkukuh demi memastikan pelaksanaan subsidi diesel dapat membantu rakyat serta mengurangkan beban kos sara hidup dengan lebih berkesan,” katanya.