Kota Kinabalu: Sabah membuktikan negeri ini memiliki kepakaran perubatan bertaraf dunia yang mampu melaksanakan prosedur berisiko tinggi dan amat kompleks kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata kejayaan pasukan perubatan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) memisahkan pasangan kembar siam menjadi detik bersejarah dalam sektor penjagaan kesihatan negeri serta menyerlahkan keupayaan profesional perubatan tempatan.
Advertisement

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata kejayaan pasukan yang diketuai Ketua Jabatan Pembedahan Pediatrik HWKKS Dr Hazlina Mohd Khalid membuktikan Sabah memiliki bakat dan kepakaran untuk melaksanakan prosedur yang sebelum ini dianggap amat mencabar.
“Rakyat Sabah amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan kita mempunyai bakat dan kepakaran dalam negeri sendiri.
“Apabila diberi peluang, anak Sabah mampu melaksanakan pembedahan yang sebelum ini dianggap sangat sukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan kepada pasukan perubatan HWKKS sempena kejayaan pembedahan pemisahan pasangan kembar siam pada Sabtu.
Advertisement

Masidi turut merakamkan penghargaan Kerajaan Negeri kepada semua doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang terlibat dalam operasi bersejarah itu.
Beliau berkata pembedahan yang berjaya dilaksanakan pada 2 Julai lalu bukan sahaja mendapat pujian meluas di Sabah, malah menjadi kebanggaan di seluruh negara.
Menurutnya kejayaan itu diharap menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh kepakaran perubatan, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan serta mengangkat kecemerlangan sektor perubatan Sabah ke tahap lebih tinggi.